Setiap orang Islam wajib memahami Islam secara sahih. Ilmu mendahului Amalan . Akidah diutamakan.
[Akidah dan Perjuangan]
Islam adalah agama yang jelas dan benar. Tiada keraguan didalamnya seperti meyakini Tuhan itu tiga dalam satu dan sebagainya. Ajaran yang terkandung di dalamnya sangat mudah untuk difahami. Tiada tuhan lain kecuali Allah. Menepati logik akal, dalam sebuah kapal hanya ada seorang nakhodanya. Jika berbilang-bilang, sudah tentu kapal hilang arah dan akan binasa. Begitu juga dalam alam semesta, hanya ada satu Zat (Tuhan) sahaja yang mengendalikan alam yang terbentang luas ini. Iaitu ALLAH Yang Maha Tinggi lagi Maha Agung.
Allah yang bersifat Maha Mengetahui setiap sesuatu, mencipta Islam sebagai agama atau aturan untuk umat manusia. DIA-lah yang maha tahu apa yang terbaik buat makhluk ciptaannya. Apa yang diperlukan oleh manusia, agama Islam ada jawapannya. Apa yang tidak baik untuk manusia, Islam juga ada jawapannya. Terpulang kepada manusia sama ada mahu memilih agama yang lurus ini atau tidak.
Oleh itu, orang Islam wajib memahami Islam sejelas-jelasnya supaya dia sedar bahawa agamanya adalah yang terunggul berbanding agama-agama yang lain. Dia juga akan sedar bahawa Islam sangat releven untuk kehidupan manusia baik pada zamannya, zaman terdahulu bahkan pada zaman hadapan! Pokoknya, orang Islam mesti faham agamanya terlebih dahulu sebelum dapat berasa bangga dengannya.
Ilmu yang dicari pula mestilah berasal daripada sumber yang sahih seperti tafsiran Al-Quran dan Hadis Nabi s.a.w. daripada ulama-ulama yang muktabar (sangat terpercaya di kalangan alim ulama). Jangan cedok ilmu tanpa mengetahui asal-usulnya kerana KEMUNGKINAN (mungkin benar dan mungkin salah) ilmu itu salah. Bergurulah dengan ulama muktabar kerana mereka pewaris Nabi s.a.w.
Hasil memperoleh ilmu yang sahih dan kesedaran dalam beragama, akan membuahkan amal-amal soleh yang diredai Allah. Ilmu adalah tapaknya kepada amal sebagaimana akar adalah tapaknya kepada pokok. Rapuh tapaknya, maka goyah dan akan binasalah amalnya (kerana tertolak oleh Allah). Oleh itu, sekali lagi, berhati-hatilah dalam mencari ilmu. Pastikan ORI. Bukan daripada ajaran-ajaran ‘cetak rompak’ seperti Kristian, Yahudi, komunisme, nasionalisme, darwinisme, pluralism dan sebagainya.
Pemilihan ilmu yang tepat menghasilkan amal yang tepat. Ia juga menancapkan Akidah yang tulus murni kepada Allah. Jauh dari sebarang kesesatan dan keraguan amalan dan iktikad (pegangan hidup). Dengan demikian, kehidupan barulah tertuju ke jalan yang lurus sebagaimana kita selalu ucapkan saban hari di dalam solat:
6. Tunjukilah Kami jalan Yang lurus.
7. Iaitu jalan orang-orang Yang Engkau telah kurniakan nikmat kepada mereka, bukan (jalan) orang-orang Yang Engkau telah murkai, dan bukan pula (jalan) orang-orang Yang sesat.
Wallahu A'lam.