Khamis, Disember 30

TANDA IMAN LEMAH


Bila anda berhadapan dengan sesuatu maksiat dan tidak mampu mencegah tetapi masih melihatnya juga, kemudian anda tertawa dengan maksiat tersebut, itulah tandanya Iman anda sudah rosak bukannya lemah.


Wallahu A'lam.

NASIHAT

Bila Allah sudah tidak pandang seseorang itu maka amal ibadahnya tidak dipandang Allah. 
Bila ibadah juga tidak dipandangNya maka tiada keberkatan dalam kehidupan, tidak ada redha dari Allah. 
Jauh sekali untuk mendapat rahmat dari Allah.


Wallahu A'lam.

Rabu, Disember 29

KULIAH TAUHID SIRI 48

Ramai hanya tahu menyebut Hidayah tapi berapa peringkat Hidayah ramai yang tidak tahu. Hidayah terbahagi kepada 4 tahap iaitu: 
1.Hidayah Al-Ilham.(Naluri) 
2.Hidayah Al-Hawas.(Pancaindera)
3.Hidayah Al-'Aql.(Akal)
4.Hidayah Ad-Din.(Agama)
[Hidayah Iman]

Hidayah tahap pertama ialah naluri ikhtiar hidup. Burung yang terbang mencari rezeki.. Lebah menghasilkan madu.. Labah-labah dengan sarangnya untuk menangkap mangsa.. Semuanya menerusi hidayah Allah ini.

Hidayah tahap kedua ialah nikmat pancaindera. ALLAH beri mata kepada makhluknya untuk melihat. Tidak teraba-raba untuk mengetahui benda di hadapan (peroleh hidayah/petunjuk daripada gelap kepada terang). ALLAH beri telinga untuk ia mendengar. Tidak tuli malah boleh 'menangkap' dan menilai informasi yang diucapkan oleh seseorang.

ALLAH beri kulit untuk menyentuh. Tahu mana panas mana sejuk. Mana tajam mana bundar. Mana bahaya mana selamat. Subhanallah... Seterusnya deria hidung untuk menghidu. Antaranya sebagai pembuka selera. Cuba bayangkan jika kita tak boleh membau? Tentu tak terjamah makanan. Atau makanan yang dijamah itu hanya sedikit saja kerana tak rasa apa-apa. Allahu Akbar. ALLAH telah menyediakan nikmat-nikmat yang begitu agung untuk kita supaya sentiasa selamat dan terurus dalam kehidupan. Betapa sayangnya Allah kepada kita. Alhamdulillah...

Hidayah tahap ketiga ialah akal. Agar dapat membezakan yang baik dari yang buruk. Dari yang lebih baik dari yang baik. Akal menilai amal mana yang terbaik dan hati yang berkuasa membuat pilihan.

Hidayah tahap keempat. Kuasa memilih terletak kepada si hati. Hati yang bersih akan cenderung kepada kesolehan. Hati yang kotor akan cenderung kepada kemaksiatan. Oleh itu, hidayah keempat memainkan peranan yang sangat penting atau vital dalam menentukan kondisi hati yang terbaik. Hidayah ini ialah Agama (petunjuk-petunjuk ALLAH yang disebut di dalam Al-Quran dan As-Sunnah). Kedua-dua petunjuk inilah yang berperanan membentuk hati menjadi 'hati yang sejahtera' yang mana akan menghadap ALLAH di Padang Mahsyar nanti. 

Wallahu A'lam.

KULIAH TAUHID SIRI 47

Jika diperhatikan dengan neraca Al-Quran dan Sunnah, akan didapati ramai orang-orang Islam hari ini telah mengabdikan diri kepada hawa nafsu. Menghambakan diri kepada manusia dan harta benda. Sehingga ada yang tinggal solat berjemaah dan kuliah-kuliah pengajian. [Fikrah Mukmin]
Inilah akibatnya apabila fahaman materialisme atau kebendaan meresap ke dalam jiwa. Hal-hal zahir SAHAJA diambil perhatian seperti memperoleh isteri cantik, harta kekayaan menimbun, kereta mewah, rumah besar, pangkat besar, dan sebagainya. 

Hal-hal batin atau yang tak tercapai oleh pancaindera seperti keredaan Allah, syafaat Rasulullah s.a.w., Syurga, Neraka, pahala, dosa, dan sebagainya tidak pula diambil endah. Kerana tak nampak manfaatnya atau tidak yakin dengannya. Maka persiapan ke alam kubur pun terabai. Oleh itu, bersedialah menghadapi kehidupan yang penuh lintang-pukang kelak!



Wallahu A'lam.

Isnin, Disember 27

KULIAH TASAUF SIRI 40

Orang-orang munafik akan duduk dalam Neraka yang paling bawah sekali. Iaitu orang yang mungkir janji, berbohong dan hati yang suka khianat. Lain di mulut lain di hati. [Al-Hikmah]


Wallahu A'lam.

KULIAH TASAUF SIRI 39

Orang yang paling hina dan keji yang hidup di dunia ini iaitu orang yang sombong dengan Allah dan RasulNya. Dan orang yang meringan-ringankan menuntut ilmu-ilmu Agama. [Minhajul Abidin]

Kebanyakan menyangka orang yang hina adalah orang yang miskin hartanya. Itu pandangan orang yang jahil tentang hakikat hidup. Kita hidup berTuhan. Diciptakan oleh Tuhan dan setiap detik memerlukan-Nya. Dan akhirnya dikembalikan kepada Tuhan.

Oleh itu, jangan ada sekelumit (sebesar zarahpun) rasa sombong kepada Tuhan yang Menjadikan kita ini.

Begitu juga jangan sesekali sombong dengan Rasul-Nya, Muhammad s.a.w. seperti menghina sunnahnya, memperlekeh keluarga dan sahabatnya, dan lain-lain perbuatan sombong yang tak layak baginya. Betapa tidak, Rasulullah itu manusia yang paling mulia di antara kita semua bahkan seluruh umat manusia.

Mana mungkin orang boleh berlaku sombong dan menghina semulia-mulia insan ini?

Pada hakikatnya, orang yang hina dan keji adalah orang yang sombong kepada ALLAH dan Rasul-Nya. Inilah pandangan yang benar dan tak dapat disangkal lagi.

Wallahu A'lam.

BAB BERKAWAN

Bila mempunyai kawan pastikan mereka tidak akan mengheret anda ke Neraka masa di Akhirat nanti. Kecuali jika anda mampu menarik mereka ke Syurga. Jangan pentingkan dunia dalam berkawan. Pastikan Akhirat diutamakan.

Wallahu A'lam.

KULIAH FEKAH SIRI 22

Orang beriman yang beriktikaf dalam Masjid tidak sama dengan orang munafik yang berada di dalam Masjid. Bagaimana untuk mengenalinya? [Fathul Bari]
Salah satu tandanya, seorang Mukmin terus duduk dengan tenang di tempat solatnya sebaik Sang Imam memberi salam manakala seorang Munafik akan bangun dengan tergesa-gesa meninggalkan masjid kerana hati tak tenteram untuk berada di masjid lama-lama.

Tanda lain, orang Munafik tak mampu secara konsisten ke Masjid pada waktu Isyak dan Subuh sebagaimana Hadis Nabi s.a.w. yang membawa maksud:

"Seberat-berat sembahyang kepada orang munafik ialah solat Isyak dan Fajar (Subuh). Kalaulah mereka mengetahui kelebihan yang ada pada solat Isyak dan Fajar ini nescaya mereka akan datang (ke masjid) walaupun dengan merangkak. Sesungguhnya aku bercita-cita bahawa aku memerintah seseorang supaya memerintah manusia sembahyang dan menyuruhnya membawa orang mengerjakan solat kemudian aku pergi bersama beberapa orang lelaki membawa kayu-kayu api untuk pergi ke rumah-rumah orang yang tidak mengerjakan solat jemaah dan aku bakar rumah-rumah itu dengan api." 


Wallahu A'lam.

KELAS FARDHU AIN SIRI 15

Allah s.w.t. tidak pandang pada orang yang sedang solat sedangkan matanya melilau ke sana-sini. [Fiqh Islam]

Solat yang khusyuk adalah solat yang memberi tumpuan kepada Pencipta-Nya. One-on-One. Oleh itu seluruh anggota badan memberi tumpuan kepada ALLAH Yang Maha Ghaib. Maka dengan sendirinya mata tidak melilau ke sana sini bahkan semua anggota tubuh tenang pada tempatnya.

Wallahu A'lam.

KULIAH TAUHID SIRI 46

Orang Islam hanya bercakap masalah krisis ekonomi, politik, sosial dan krisis hukum. Tetapi krisis Iman dan Akhlak tidak ramai yang bertegas. [Islam Yang Syumul]

Orang kata 'sembang kencang, lebat, berapi-api' bila sebut isu-isu politik, akademik, ekonomi, dan apa-apa krisis kemasyarakatan hari ini. Walhal, akar umbi permasalahan ini bermula daripada krisis keyakinan atau Belief System mereka. Selidik balik, apa matlamat hidup ini sebenarnya? Jika matlamat masih kabur, usah bicara tentang perjuangan.

Wallahu A'lam.

KULIAH TASAUF SIRI 38

Dosa yang paling besar sekali iaitu tidak mengambil berat ilmu-ilmu agama, berpura-pura dalam agama, menceroboh Al-Quran dan Hadis, dan tidak mematuhi jadual Allah dan RasulNya. [Al-Hikmah]

Allah sudah menetapkan 'jadual aktiviti' untuk setiap hamba-Nya yang beriman.
Bila masa solatnya,
masa mengaji Al-Qurannya,
masa puasanya,
masa zakatnya,
masa hajinya,
masa berbuat baik dengan ibu bapanya,
masa berzikir dan bermunajat,
masa mencari rezeki dan untuk berisitirehat
Dan karena rahmat-Nya, Dia jadikan untukmu malam dan siang, supaya kamu beristirahat pada malam itu dan supaya kamu mencari sebahagian dari karunia-Nya (pada siang hari) dan agar kamu bersyukur kepada-Nya (Al-Qashash:73)


Apakah mereka tidak memperhatikan, bahwa sesungguhnya Kami telah menjadikan malam supaya mereka beristirahat padanya dan siang yang menerangi? Sesungguhnya pada yang demikian itu terdapat tanda-tanda (kekuasaan Allah) bagi orang-orang yang beriman (Al-Naml:86)


masa bersama isteri dan anak-anak,
masa menghubungkan silaturahim dengan sahabat handai,
masa bersama golongan miskin,
dan pelbagai masa lagi.

Amatlah dangkal dan celaka bagi orang yang beralasan kononnya tiada masa untuk solat dek kesibukan bisnesnya, dan lain-lain alasan yang 'diciptakan' oleh bisikan musuh utama: Syaitanirojim dan hawa nafsu.


Selaklah lembaran Al-Quran, selaklah Hadis-hadis Nabi s.a.w. Agar pelbagai pengajaran yang maha hebat (bersumber daripada Yang Maha Agung) dapat digali dan dimanfaatkan oleh kita insyaAllah.

Wallahu A'lam.

SIRAH ISLAM

Demi Allah. Tidak ada kemenangan yang akan diperolehi kecuali dengan keikhlasan, kejujuran hati dan kesabaran dalam menghadapi musuh-musuh Allah. [Kembali Kepada Islam Yang Sebenar]
Begitulah kualiti-kualiti yang wujud di dalam dada Nabi s.a.w. dan para sahabatnya yang berjuang menegakkan agama Allah dan menyebarkan Risalah yang mulia ini.


Wallahu A'lam.

KULIAH HADIS SIRI 6

Daripada Zaid bin Thabit,"kami pernah makan sahur bersama Rasulullah s.a.w. setelah itu kami pun menunaikan solat Subuh. Kemudian aku bertanya, berapakah selang waktu bersahur dan solat Subuh? Baginda menjawab: Kira-kira 50 ayat." [H.r. Bukhari]


Secebis info buat mereka yang istiqamah dalam berpuasa sunat kerana Allah. Semoga dapat mengamalkan budaya membaca Quran sebelum masuk waktu Subuh.

Wallahu A'lam.

KULIAH TASAUF SIRI 37

Apabila terbit fajar janganlah biarkan hati merayau-rayau. Tumpukan kepada ALLAH dengan melakukan perkara-perkara yang mendapat keredhaan ALLAH s.w.t. [Al-Hikmah]
Tumpuan kepada Allah insyaAllah dapat dilakukan apabila hati sedar kehadiran ALLAH dan sedar DIA sedang MELIHAT dan MENILAI perbuatan-perbuatan kita sama ada lahir mahupun batin.


Wallahu A'lam.

Ahad, Disember 26

KULIAH TAUHID SIRI 45

Selagi kefahaman Islam, Iman dan Ehsan tidak dimantapkan ke dalam hati dan selagi Akidah tidak dikemaskini, selagi itulah apa yang dilakukan rasa betul. Dalam masa yang sama sifat ego dan sombong terus bertakhta di hati dan meleburkan pahala, menghidupkan dosa. [Risalah Islam]


Wallahu A'lam.

KULIAH TAUHID SIRI 44

Sampai bila kita hendak mengikut cara hidup yang berdasarkan dan berkiblatkan Yahudi Zionis. Di mana Iman kita? [Iman dan Kufur]


Wallahu A'lam.

KULIAH TASAUF SIRI 36

Semua manusia akan binasa kecuali orang-orang yang Alim(berilmu). Orang yang Alim pun akan binasa kecuali orang-orang yang beramal. Orang yang beramal pun akan binasa kecuali orang-orang yang ikhlas. Orang yang ikhlas itu pun dalam keadaan bahaya kecuali yang berTAQWA. [Al-Hikmah]


Wallahu A'lam.

KULIAH TAUHID SIRI 43

Kesempurnaan Islam terletak kepada tiga perkara iaitu Akidah yang lurus. Keikhlasan dalam beribadah dan berAkhlak mulia. [Akidah Islam]

Kesempurnaan ini akan hilang pula apabila Tauhid yang sebenar terpisah daripada seorang muslim. Terjadilah kufur, syirik, dan kezaliman serta kesesatan yang nyata.


Wallahu A'lam.

KULIAH TASAUF SIRI 35

Hari ini kamu rasa dunia ini seolah-olah milik kamu. Tenggelam dalam kemewahan, berbangga dengan pangkat, paras rupa, mempunyai keluarga yang kaya dan ramai yang menyayangi kamu yang bukan kerana Allah tapi kerana dunia. Tanpa disedari dalam keseronokan dan kemewahan yang sedang dinikmati, kamu tidak mengikut peraturan-peraturan atau Syariat Islam. Terjadilah keseronokan dalam membuat maksiat dan dosa yang tidak diredhai Allah. [Al-Hikam]



Wallahu A'lam.

KULIAH TAUHID SIRI 42

Tanyalah pada diri sendiri, siapakah TUHAN ku? Benarkah ALLAH Tuhan ku? Atau hawa nafsu atau syaitan atau manusia atau harta dan wang ringgit dijadikan Tuhan? [Kenalilah Allah s.w.t.]


Wallahu A'lam.

KULIAH HADIS SIRI 5

Dari Anas bin Malik, Nabi s.a.w. tidak pernah makan di atas meja makan dan tidak pernah memakan roti yang sudah dihaluskan hingga Baginda wafat.                              [Riwayat Bukhari,Tarmizi,Ibnu Majah dan Ahmad]
Ertinya Nabi Muhammad s.a.w. yang sangat mulia ini tidak pernah makan sepertimana orang barat makan iaitu di atas meja. Nabi s.a.w. juga memakan roti yang masih lagi kasar bukan seperti roti yang kita makan pada hari ini. Membuktikan bahawa pemakanan Nabi s.a.w. sangat sederhana yakni sekadar mengenyangkan perut dan tidak berlebih-lebihan.


Wallahu A'lam.

Sabtu, Disember 25

KULIAH HADIS SIRI 4

Sekadar hiasan
Dari Abu Hurairah r.a., Seburuk-buruk makanan adalah makanan pada jamuan di mana golongan kaya sahaja yang diundang kepadanya dan ditinggalkan golongan fakir. [Riwayat Al-Bukhari dan Muslim]

Inilah juga dinamakan Double Standard. Ajaran Islam turun dan menafikan Double Standard.

Wallahu A'lam.

KULIAH TAUHID SIRI 41

Ada lima jenis bagi orang-orang Islam yang berani menentang kebenaran. 
1.Orang yang jahil.
2.Orang yang berkepentingan diri.
3.Orang yang mengikut hawa nafsu.
4.Orang yang mengikut bisikan-bisikan Syaitan.
5.Orang yang tahu itu adalah kebenaran tapi diabaikannya.
[Kesesatan]


Wallahu A'lam.

KULIAH TAUHID SIRI 40

Antara yang paling ketara dilakukan oleh orang-orang Islam hari ini iaitu mereka tahu itu adalah kebenaran tapi diabaikannya dan mempunyai kepentingan diri. Perkara ini boleh membawa kepada syirik atau rosak Iman. [Kesesatan]


Wallahu A'lam.

KULIAH FEKAH SIRI 21

Apabila berkumpul manusia bagi mendengar muzik atau nyanyian, maka dialah orang yang bodoh yang tertolak Syahadah atau Imannya. [Imam Syafie dari kitab Ibnu Qayyim al-Jauzi]

Dalam kesempatan ini saya ingin menyeru supaya umat Islam khususnya di Malaysia supaya memboikot konsert-konsert haram seperti Jom Heboh, konsert underground, battle of the bands, live band, konsert rock, konsert yang menjemput penyanyi atau kumpulan luar negara dan seterusnya. 

Umat Islam tak kira di Malaysia atau di luar sana, ayuhlah kita ke taman-taman syurga. Tempat perkumpulan orang soleh. Ayuhlah kita ke bertadarus al-Quran. Ayuhlah kita mendengar hadis-hadis Nabi s.a.w. yang mulia. Ayuhlah kita hidupkan Al-Quran dan As-Sunnah dalam setiap gerak geri kita. InsyaAllah Petunjuk Allah berterusan menyusul di dalam kehidupan kita


Wallahu A'lam.

KULIAH TASAUF SIRI 34

Mendengar nyanyian dan muzik yang melalaikan adalah ahli-ahli fasik. Barangsiapa yang mencintai nyanyian, dipalingkan hatinya daripada al-Quran.                        [Imam Malik dan Ibnu Qayyim al-Jauzi]

Untuk meneguhkan lagi hati, sila dengar ceramah yang disampaikan oleh Syeikh Kamal al-Makki (English audio) dibawah. Ceramah yang sangat bermanfaat insyaAllah.
http://www.youtube.com/watch?v=RthlUOYkI7M&feature=player_embedded

Semoga anda semua mendapat Petunjuk Allah subhanahu wataala. Amin.

Wallahu A'lam.

KULIAH TASAUF SIRI 33

Inilah dosa-dosa yang kerap dilakukan oleh pengguna-pengguna handphone yang tidak bertakwa. Iaitu:
-Tidak menjawab panggilan dengan sengaja. 
-Tidak menjawab salam dan mesej berupa pertanyaan.
-Double Standard.
-Salah gunakan setiap sen yang keluar
-Memutuskan silaturrahim.
Kesemuanya (berikut) dosa besar.
[Sifat-sifat Tercela]

Double standard di sini adalah membezakan kawan yang berkedudukan tinggi dan yang berkedudukan rendah. Layanan istimewa diberikan kepada kawan atau kenalan yang kaya, berpangkat tinggi, berjawatan besar dan seumpamanya. Layanan ala kadar atau langsung tak layan kepada kawan yang miskin, berkerja seperti tukang cuci dan seumpamanya. Walhal kawan yang sedemikian mungkin lebih wajar untuk dilayani (dengan sepenuh hati) kerana ketinggian darjatnya di sisi Allah.

Wallahu A'lam.

KULIAH FEKAH SIRI 20

Berapa ramai orang Islam hari ini membiarkan dirinya dibelit oleh dunia. Tanda Allah tidak menyayangi seseorang itu, DIA akan membiarkan belitan tersebut hingga penghujung hayatnya. [Al-Ibadah] 



Wallahu A'lam.

KULIAH TASAUF SIRI 32

Pada zahirnya radio, tv, internet dan telefon bimbit memang bermanfaat. Tapi bila tidak digunakan berdasarkan Iman dan Takwa, banyak dosa daripada pahala.    [Dosa dan Pahala]

Bersama memanfaatkan teknologi untuk kebahagiaan di akhirat. Jadikan ladang dunia (teknologi) untuk kita raih buahnya di akhirat. InsyaAllah.

Wallahu A'lam.

KULIAH FEKAH SIRI 19

Berapa ramai orang yang kaya dan hidup senang tetapi kekayaan menjadikannya kufur dan sesat dari menjalankan perintah-perintah Allah s.w.t.                          [Bahrul Mazi Jilid 16]

Bismillahirahmanirahim.

Berhati-hatilah dalam menjalani kehidupan yang mewah. Kerana di dalamnya terkandung ujian kekufuran dan kesesatan. Kufur apabila enggan bersedekah di jalan Allah dan bertambah ego dengan harta kekayaan yang ada. Sesat apabila akal dan jiwa dipandu oleh kesesatan nafsu yang buas. Menggunakan harta untuk melakukan maksiat kepada Allah.

Pada masa yang sama, berusahalah untuk menjauhi kehidupan yang melarat (kefakiran). Kerana kefakiran mengundang kepada kekufuran jua. Menyalahkan takdir dan bersangka buruk terhadap Allah. Nasibnya dua kali rugi iaitu di dunia dan juga di akhirat kerana ketandusan iman yang tulus kepada Allah.

Oleh itu, pilihlah jalan yang sederhana. Tidak terlalu bermewah dan tidak terlalu melarat. Islam mengajar erti kesederhana sebagaimana yang ditunjukkan oleh Rasul yang mulia, Nabi Muhammad s.a.w. Berkat tunjuk ajarmu ya Rasulullah, kami dapat mengerti hidup yang sempurna di atas muka bumi ini. Semoga baginda dan ahli keluarganya sentiasa menerima Rahmat Allah Taala yang berpanjangan. Amin.

Wallahu A'lam.

KULIAH TAUHID SIRI 39

Ramai orang yang mendakwa diri mereka sebagai orang Islam. Tetapi kehidupannya tidak mencerminkan sebagai orang beragama Islam. [Ad-Din]


Wallahu A'lam.

KULIAH FEKAH SIRI 18

Di akhir zaman ini ramai yang nampak membuat ketaatan kepada Allah. Tetapi sebenarnya bertambah jauh dari Allah s.w.t. [FEKAH ADAB]

Bismillahirahmanirahim.

Amal ketaatan memang mudah untuk dilaksanakan. Solat, bersedekah, pergi Haji, berpuasa, sesiapa pun boleh lakukan. Tetapi, adakah amal-amal tersebut dibuat berlandaskan Iman dan Ilmu? Tujuan kita bukan untuk menghukum orang lain tetapi untuk menilai diri sendiri, semoga amal ketaatan yang dizahirkan seiring dengan niat di dalam hati. Iaitu mengharapkan wajah Allah.
Sesungguhnya kami memberi makanan kepadamu kerana mengharapkan wajah Allah. Kami tidak mengharapkan balasan daripada kamu dan tidak ucapan terima kasih.   (Al-Insaan:ayat 9)
Seterusnya perbuatan itu mestilah berlandaskan ilmu. Bukan sekadar ikut-ikutan. Tengok orang lain pergi Haji, diapun pergi sama. Begitu juga dengan ibadah-ibadah lain. Mengikut tanpa mengetahui rukun-rukun dan syarat-syarat sahnya. Amal sedemikian juga tertolak kerana tidak menepati Syariat. Semoga ketaatan kita membuatkan kita makin dekat dengan Allah bukan sebaliknya.

Wallahu A'lam.

KULIAH TAUHID SIRI 38

Seseorang yang kurang mantap Imannya kepada Allah maka hidupnya tidak mempunyai pendirian yang teguh dalam hatinya. [Takwa]

Wallahu A'lam.

Jumaat, Disember 24

KULIAH TAUHID SIRI 37

Iman, beriman dan keimanan. Adakah sama atau ada perbezaannya
Iman tidak akan lengkap jika tidak dihiaskan. Apakah hiasan-hiasan iman?
Bagi yang mengetahui Alhamdulillah dan bagi yang tidak tahu, apa tunggu lagi?
Berusahalah mencari ilmunya dalam kuliah Tauhid. [Al-Iman]


Sekadar motivasi untuk menuntut ilmu yang paling utama daripada sekian ilmu, iaitu ilmu Tauhid.

Wallahu A'lam.

KELAS FARDHU AIN SIRI 14

Antara sebab orang-orang Islam zaman ini tidak mahu menuntut ilmu-ilmu agama atas alasan, "lebih baik tak tahu daripada tahu". Orang seperti ini di dunia lagi Allah tidak pandang padanya. Di Akhirat tidak akan dapat rahmat dari Allah s.w.t. [Fardhu Ain]

Jika dengan sengaja meletakkan diri di dalam kejahilan, di mana pula kebaikannya?

Wallahu A'lam.

KULIAH FEKAH SIRI 17

 Umat Islam zaman Nabi s.a.w. dan di zaman sahabat-sahabat Nabi s.a.w. dahulu, kehebatan mereka mentaati perintah-perintah Allah dan kuat beribadah. Zaman sekarang umat Islam hebat juga. Kehebatannya menentang perintah-perintah Allah dan malas beribadah. [Al-Ibadah]


Wallahu A'lam.

Rabu, Disember 22

KULIAH TAUHID SIRI 36

Apabila seseorang Islam menjadikan hawa nafsunya sebagai Tuhan dan syaitan sebagai kawan ikutannya, maka ia telah menempah satu tempat di Neraka. [Iman dan Kufur]


Wallahu A'lam.

KULIAH TASAUF SIRI 31

Orang Islam yang melakukan maksiat dan cintakan dunia dapat membutakan Hati dan termasuk ke dalam penjara syaitan. [ibn Qayyim al-Jauzi]


Wallahu A'lam.

KULIAH TAUHID SIRI 35

Berapa ramai orang yang beragama Islam tetapi tidak mengambil tahu dimana tahap kedudukannya sebagai seorang Islam. Jika diteliti akan terbahagi kepada 7 bahagian orang-orang Islam hari ini. [Iman dan Kufur]

7 bahagian itu ialah:

1.Islam munafik
2.Islam fasik
3.Islam jahil
4.Islam zalim
5.Islam syirik
6.Islam tidak Islam
7.Islam yang sebenarnya.


Wallahu A'lam.

GOLONGAN MUDA

Penyakit paling utama yang akan dihadapi golongan muda ialah terpengaruh dengan era globalisasi. Mensia-siakan waktu dan suka menangguh-nangguhkan menuntut ilmu-ilmu agama, melambatkan amalan-amalan soleh dan taubat.                   [Pemuda yang Soleh]


Wallahu A'lam.

KULIAH TASAUF SIRI 30

Antara orang yang munafik mulutnya mengaku beriman, mengakui adanya ALLAH. Namun hati tidak ikhlas, masih sombong menolak kebenaran dari Al-Quran dan Sunnah Nabi s.a.w.. [Munafiq]


Wallahu A'lam.

KELAS FARDHU AIN SIRI 13

Bila kita tidak suka pada seseorang itu, kita akan mengadakan berbagai alasan dengan tujuan tidak mahu berjumpa dengannya. Begitu juga bila kita suka dengan seseorang itu kita mengeluarkan kata-kata manis bila berjumpa dengannya. Dengan perbuatan kita itu menjadikan kita bersifat MUNAFIQ. [Iman dan Kufur]


Wallahu A'lam.

KELAS FARDHU AIN SIRI 12

"Kunci segala dosa adalah kejahilan yang berterusan dan kunci menerima syaitan sebagai teman adalah bila hawa nafsu dijadikan Tuhan" [Syurga dan Neraka]


Wallahu A'lam.

TENTERA ISLAM

Seseorang yang ingin menjadi tentera Islam pastikan solat 5 waktu tidak tinggal. Solat Tahajud, rajin puasa sunat Isnin dan Khamis. Tidak tinggal membaca al-Quran dan menjauhi perkara-perkara maksiat. [Tentera Allah]

Subhanallah. Hebat sungguh tentera Islam pada zaman sahabat dan tabiin! Cuba buat perbandingan secara jujur dengan tentera kita sekarang. Berapa jauhnya kita telah menyimpang? Tidakkah kita mahu mengambil pengajaran? Bukalah mata hati, telusuri sirah Islam yang gemilang.

Wallahu A'lam.

KULIAH TAUHID SIRI 34

Dalam sebutan bacaan Basmalah ada 13 kesalahan jika tidak dibaca dengan betul dan bertajwid. Ayat kedua dari Surah Al-Fatihah ada 9 kesalahan sebutan jika tidak dibaca dengan betul.     [Surah Al-Fatihah]


Wallahu A'lam.

KULIAH TASAUF SIRI 29

Dilihat dari luar ramai manusia nampak baik dan sihat. Bila dilihat dari tingkah laku sama ada dari sudut perkataan atau perbuatan, ramai yang tidak berlandaskan Al-Quran dan As-Sunnah. Itulah tanda hati yang sakit dan mati. [Al-Hikam]


Wallahu A'lam.

KULIAH TAUHID SIRI 33

Ada lima perkara yang pasti kita hadapi jika tidak berhati-hati di dalam kehidupan setiap saat. Iaitu:
1-Amalan Syirik. 
2-Membuat Fasik (berbuat dosa besar dan kekal dalam dosa kecil). 
3-Bersifat munafik. 
4-Melakukan keZaliman. 
5-Gejala Murtad.
[Murtad Tanpa Sedar]


Wallahu A'lam.

KELAS FARDHU AIN SIRI 11

Orang-orang Islam zaman ini lebih sanggup menunaikan hajat seseorang ke arah dosa dan maksiat. Hajat seseorang yang ke arah kebaikan dan mendatangkan pahala ditolak dengan terang. [Zalim]
Contohnya ajakan untuk ke night club terus dipenuhi. Ajakan ke masjid ditolak sambil berkata "kau pergi dulu". Contoh lain, seorang lelaki yang mengacau anak dara orang mendapat sokongan dan pertolongan rakan-rakannya. Seorang lelaki yang berusaha berdakwah dan menghubungkan silaturahim sesama saudara semuslim mendapat tentangan ramai (ini kisah benar).


Wallahu A'lam.

KELAS FARDHU AIN SIRI 10

ILMU dibina atas tiga tahap iaitu Riwayat, Dirayat dan Ria'yat. IBADAH terlaksana dengan tiga perkara iaitu kesahihan Akidah, keikhlasan Ibadah dan kemuliaan Akhlak. [Al-Hikam]

Riwayat = usaha mencari dan menambahkan ilmu.
Dirayat = usaha pemahaman ilmu.
Manakala Ria'yat = usaha melaksanakan tuntutan ilmu.


Wallahu A'lam.

KULIAH TAUHID SIRI 32

Bila hati atau jiwa sudah ditanamkan dengan budaya-budaya Barat yang berlandaskan cara Yahudi dan Nasrani, maka orang-orang Islam lebih mengagungkan cara hidup mereka daripada cara hidup Islam. Di mana keikhlasan kita di dalam menerima Islam sebagai panduan hidup?                                          [Batas-Batas Iman dan Kufur]


Wallahu A'lam.

KULIAH TAUHID SIRI 31

Orang yang suka memperhambakan hawa nafsunya dan menebus Akhirat dengan keduniaan adalah orang yang paling rugi dan menerima seksaan yang sangat berat. [Al-Hikmah]


Nampakkah (wahai Muhammad) keburukan keadaan orang yang menjadikan hawa nafsunya: tuhan yang dipuja lagi ditaati? Maka dapatkah engkau menjadi pengawas yang menjaganya jangan sesat? (Surah Al-Furqan:43)


Atau adakah engkau menyangka bahawa kebanyakan mereka mendengar atau memahami (apa yang engkau sampaikan kepada mereka)? Mereka hanyalah seperti binatang ternak, bahkan (bawaan) mereka lebih sesat lagi. (Surah Al-Furqan:44)


... dan janganlah engkau menurut hawa nafsu, kerana yang demikian itu akan menyesatkanmu dari jalan Allah. Sesungguhnya orang-orang yang sesat dari jalan Allah, akan beroleh azab yang berat pada hari hitungan amal, disebabkan mereka melupakan (jalan Allah) itu.(Surah Sod:26)


Wallahu A'lam.

Harapan

Assalamualaikum sahabat-sahabat Cebisan Nur Hikmah.

Semoga iman semua sentiasa selamat daripada godaan dan fitnah dunia. Jika tergelincir daripada landasan keimanan sekalipun, cepat-cepat betulkan haluan supaya tak terpesong jauh daripada MATLAMAT yang satu iaitu mendapat keredaan Allah.

Secebis harapan penulis semoga sahabat-sahabat semua dapat memahami ilmu yang dikongsikan di sini dan seterusnya dapat menghayatinya di dalam amalan kehidupan sebenar. InsyaAllah. Tak perlu tergesa-gesa semasa membaca untuk menyudahkan sesebuah entri. Biar lambat asalkan faham. Yang penting memperoleh pengajaran dan keberkatan daripada Allah subhanahu wataala.

Sukacita ingin dijelaskan bahawa ilmu-ilmu ini sebenarnya adalah hasil penyampaian berbagai-bagai ustaz dalam sesebuah kuliah agama. Ia bukanlah hasil 'pandai-pandai' penulis. Namun, ingin ditegaskan bahawa komentar ilmu kuliah ini merupakan olahan penulis berdasarkan kefahamannya yang dhaif. Ruang penulis untuk berbuat kesilapan semasa mengulas adalah luas. 

Oleh itu, penulis amat mengharapkan supaya sahabat-sahabat yang dirahmati Allah tidak menelan sebijik-bijik apa yang telah disampaikan. Sebaiknya, rujuklah kepada Alim Ulama' yang dipercayai ramai. InsyaAllah anda semua beroleh kebaikan.

Sekian, wabillahi taufik wal hidayah. Wassalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh.

KELAS FARDHU AIN SIRI 9

Zaman ini orang yang beragama Islam dan mengaku beriman, tetapi sanggup menentang hukum-hukum Allah untuk menjaga hati kawan. Walaupun dia tahu perkara itu haram. Kerana kawan(manusia), tolak hukum Allah. Maka jadilah ia seorang yang fasik atau kafir atau zalim. [Iman dan Kufur]

Kita lebih menjaga hati kawan dan manusia yang tak taat dengan Allah dan RasulNya daripada menjaga hukum-hukum Allah dan sunnah-sunnah Nabi s.a.w.. Dek kerana kawan dan manusia yang tak taat dengan Allah, kita sanggup batal Syahadah dan menentang perintah-perintah Allah dan RasulNya.


Wallahu A'lam.

KULIAH FEKAH SIRI 16

Bagi pengguna-pengguna telefon bimbit jika tidak digunakan atas dasar Takwa, akan menerima 3 habuan iaitu amalan soleh akan hilang, DILAKNAT oleh Allah dan Nabi s.a.w. TIDAK MENGAKU umat. [Al-Ibadah]

Murah atau mahal bukan soalnya. Tapi adakah TAKWA hadir sepanjang penggunaannya?

Wallahu A'lam.

TAZKIRAH

"Dari sekian banyak nikmat dunia, cukuplah Islam sebagai nikmat bagimu, dari sekian banyak kesibukan, cukuplah ketaatan sebagai kesibukan bagimu, dan dari sekian banyak pelajaran, cukuplah kematian sebagai pelajaran bagimu." [Saidina Ali bin Abi Talib r.a.]

http://www.khutbah-jumuah.co.cc/2009/10/tiga-nasehat.html

Wallahu A'lam.

KULIAH TAUHID SIRI 30

Orang yang celaka ialah orang yang telah tahu kebenaran, tetapi kerana hawa nafsu dan menuruti Syaitan sanggup mengubah kebenaran dan menggadaikan keimanan. [Al-Iman]

Jangan ikut kemahuan Nafsu dan Syaitan. Ia akan memadamkan Iman dan menghilangkan keikhlasan dalam beribadah. Akibatnya, kita akan mencintai dunia, sanggup berdusta, menjadi fasik dan berlaku zalim terhadap orang lain. Akhirnya hidup tidak mendapat keredaan Allah!


Wallahu A'lam.

KULIAH TAUHID SIRI 29

Harga sebutir Iman tidak terkira mahalnya. Tapi ramai umat Islam menggadaikannya dengan dunia yang tiada harga. [Al-Iman]

Perniagaan yang sangat-sangat merugikan. Ironinya, ramai yang menceburkan diri ke dalamnya.

Wallahu A'lam.

KULIAH FEKAH SIRI 15

Manusia sering dalam kealpaan dan kelalaian kerana kesenangan dan keseronokan dunia. Oleh itu sentiasalah muhasabah diri, jadikan al-Quran sebagai panduan hidup. [Al-Ibadah]

Kuasai dan amalkan setiap ilmu fekah yang berpandukan Al-Quran dan Hadis Nabi s.a.w. di dalam kehidupan. Dengan cara apa dapat menguasai ilmu? Salah satunya adalah menghadiri kuliah agama kerana majlis ilmu sedemikian mengandungi KEBERKATAN yang melimpah-ruah. Dicari-cari oleh setiap orang yang beriman.

Wallahu A'lam.

KULIAH TASAUF SIRI 28


Setiap orang yang ego, yang sombong dan yang takbur pasti LEBUR.Yang mula-mula lebur Iman dan kemudian amalan-amalan solehnya. [Al-Hikam]



Wallahu A'lam.

KELAS FARDHU AIN SIRI 8

Sesiapa yang ingin menuju ke jalan-jalan Allah akan melalui empat rintangan. Amat beruntung bagi yang dapat melepasinya dan terlalulah rugi bagi sesiapa yang gagal. [Aura Iman]

Rintangan:
Pertama = Hawa Nafsu.
Kedua = Iblis dan Syaitan.
Ketiga = Manusia
Keempat = Dunia dan isinya. Kecuali Manusia yang beriman dan bertakwa.


Wallahu A'lam.

KULIAH TAUHID SIRI 28

"Manusia lupa asal dan usulnya, kerana asyik dengan keseronokan dunia, Nabi dan Rasul berkorban jiwa, agar umatnya dapat agama. Sedangkan umatnya menjualkan agamanya kerana dunia." [Iman dan Pembatalannya]

Di manakah letaknya sensitiviti kita terhadap Agama anutan kita? Bersama kita renung-renungkan.

Wallahu A'lam.

KULIAH TASAUF SIRI 27

Hati manusia akan terbahagi pada tiga bahagian iaitu: Hati yang sihat. Hati yang sakit dan Hati yang mati. Kebanyakan manusia hari ini akan memiliki sama ada Hati yang sakit atau Hati yang mati. [Cahaya Di Atas Cahaya]

-Hati yang sihat, hati yang mengenal Allah dan sentiasa takut dengan kebesaranNya. Hati sentiasa ingatkan Allah. Itulah hati yang bersih dan hidup. Akan lahirlah kemanisan Iman dalam beribadah dan berakhlak mulia.

-Hati yang sakit, hati mengakui adanya Allah. Tetapi tidak rasa takut denganNya. Hati ini ada sifat-sifat sombong, riak, sifat munafik, dan lebih pada cinta dunia.

-Hati yang mati, untuk paling mudah mengenali dan mengetahuinya, hati orang-orang yang berperangai sama dengan orang kafir. Tunduk dengan hawa nafsu, mengikut bisikan-bisikan iblis dan menolak kebenaran.


Wallahu A'lam.

MUHASABAH DIRI

Seseorang yang duduk bersama penjual minyak wangi akan mencium aroma wanginya. Sedangkan solat adalah sebuah ibadah yang seakan-akan kita sedang duduk bersama ALlah Ta'ala (kita sangat dekat sekali dengan rahmat, ampunan dan kurnia Allah). Jika engkau duduk bersama Allah, tetapi tidak memperoleh apa-apa. Itu tandanya dalam hatimu terdapat penyakit, entah itu kesombongan, berbangga diri atau ketidaksopanan. [Ibnu 'AtaiLlah Askandari]

http://jarumemas.blogspot.com/2010/04/solat-sebagai-pengukur-hubungan-kita.html

Wallahu A'lam.

KULIAH FEKAH SIRI 14

Hidup hanya sekali maka jadilah seorang manusia yang hebat. Manusia yang dapat memberi manfaat kepada orang lain. Kaya dengan pahala dan amal kebaikan. [Al-Ibadah]


Wallahu A'lam.

KULIAH TASAUF SIRI 26

Hati yang ada rasa ego, ada sifat riak, rasa dendam, ada rasa sombong dan ada rasa pilih kasih. Jika salah satu atau semuanya ada dalam hati maka segala amalan-amalan solat tidak diterima oleh Allah. [Al-Hikmah]

Sedikit penerangan tentang pilih kasih: Jika menerima tetamu daripada orang yang kurang berada, dilayannya ala kadar. Berbeza dengan tetamu daripada orang yang mempunyai pangkat dan harta. Dilayannya sungguh-sungguh, kerana ada kepentingan.

Situasi lain, jika ada yang menegur kesalahannya itu adalah orang yang miskin atau seorang buruh misalnya, diambil endah tak endah saja. Tapi jika yang menegurnya Dato' atau seorang Menteri, walaupun tegurannya atas kesilapan yang kecil, diambil perhatian dan beriya-iya memperbetulkan kesilapannya itu. Astaghfirullah. Begitu berbeza wataknya apabila berhadapan dengan orang yang berpangkat atau berkedudukan tinggi. Inilah penyakit pilih kasih yang melekat pada masyarakat kita. Semoga kita dijauhkan diri dari sifat ini a.k.a sifat Munafik.

Wallahu A'lam.

KULIAH TAUHID SIRI 27

Usia yang muda tidak boleh dijadikan alasan tidak dapat menuntut ilmu-ilmu agama. Itulah adalah kata-kata dari iblis laknatullah. [Al-Iman]


Wallahu A'lam.

KULIAH TAUHID SIRI 26

Berpalinglah segera dari berterusan berbuat dosa dan hampirkanlah diri kepada Allah.            [Iman dan Taubat]

Bismillahirahmanirahim.

Saudara-saudaraku sekalian, sampai bila mahu terus bergelumang dengan kegelapan dosa? Ketahuilah satu kali perbuatan dosa akan tercoretlah satu kali titik hitam di hati berdasarkan mafhum(kefahaman) hadis Nabi s.a.w. Jika dosa dilakukan berulang kali, masakan kita mendapat petunjuk?

Hanya dengan berpaling daripada berbuat dosa (yang kita sendiri sengajakan) saja dapat mengembalikan hati yang selama ini dinodai dosa, menerima masuk cahaya hidayah Allah. Dan supaya dapat terus mendekatkan diri kepada-Nya.

Wallahu A'lam.

TAZKIRAH

Kesempurnaan ibadah hanya akan terhasil dengan Akhlak yang mulia. Yang diterajui oleh Akidah yang kukuh. Pastinya bersumber dari Ilmu. [Al-Ilmi]
Ilmu > Akidah yang kukuh  > Ibadah yang sempurna > Akhlak mulia.


Wallahu A'lam.

KULIAH TASAUF SIRI 25

Orang yang sentiasa hatinya bersih dari sifat-sifat terkeji, akan sentiasa memasang niat yang baik dan diberi pahala oleh Allah. Itulah orang yang akan dipikat oleh SYURGA. [Syarah Al-Hikam]


Wallahu A'lam.

KULIAH TASAUF SIRI 24

Pintu Taubat tidak akan dimasuki selagi Pintu Insaf tidak dibuka terlebih dahulu. Untuk membukanya: Dengan mengingati MATI[Antara Semalam dan Besok]


Wallahu A'lam.

KULIAH TAUHID SIRI 25

Sesiapa yang mengabaikan Allah semasa mudanya, maka Allah akan mengabaikan masa tuanya. [Antara Semalam dan Besok]
Kenali Allah dengan cara memantapkan ilmu Tauhid di dada. Kerana teras kepada agama ialah ilmu tauhid. Tak sah ibadah tanpa ada tauhid kepada Allah.

Pelajari ilmu Tauhid sementara akal fikiran masih lagi cekap dan tajam. Sementara jiwa muda masih bersemangat membara untuk menuntut segala macam ilmu Allah. Kerana apabila sudah tua, segala kudrat sudah berkurang dan terbatas. Oleh itu, hargailah masa mudamu dengan memanfaatkannya khususnya untuk mengenal ALLAH, Tuhan seluruh Alam.

Wallahu A'lam.

Selasa, Disember 21

KULIAH FEKAH SIRI 13

Inilah zaman orang-orang Islam lebih sanggup jadi hamba hawa nafsu, hamba Syaitan dan hamba dunia. Inilah yang dikatakan menjual agama kerana dunia[Silsila Amalikul]


Wallahu A'lam.

KULIAH TAUHID SIRI 24

"Zaman ini adalah zaman orang-orang untuk mencari keuntungan dunia dengan menjual agama dan kebenaran-kebenaran dianggap penghalang untuk kecintaan dunia." [Al-Iman]

Alangkah benarnya kata-kata berikut.

Sedikit penerangan: Orang yang menjual agama contohnya dia mengaku Islam tetapi peraturan-peraturan dan kebenaran-kebenaran dari Islam ditolak. Menjual agama samalah menggadaikan Iman untuk tujuan maksiat. Contohnya: orang yang bercinta secara haram @ bercouple walaupun mereka orang yang menunaikan solat.


Wallahu A'lam.

KULIAH TASAUF SIRI 23

Orang yang paling menyesal di hari Akhirat nanti ialah orang yang diberi peluang mencari ilmu masa di dunia. Tapi masa yang diberi digunakan untuk perkara-perkara maksiat. [Ihya Ulumuddin]
Sebagai peringatan untuk anak-anak muda di luar sana. Jangan sia-siakan masa mudamu! Sebaliknya carilah keredaan Allah, Tuhan Yang Maha Pengasih lagi Maha Penyayang.


Wallahu A'lam.

KULIAH TASAUF SIRI 22

Orang yang menjadi penderhaka agama ialah orang mencela agama, orang yang bermusuh kerana agama dan menyeru manusia kepada dunia. [Al-Hikmah]


Wallahu A'lam.

KULIAH TAUHID SIRI 23

Penjenayah yang paling besar bagi seseorang Islam ialah penderhaka pada agama Allah dan memandang remeh hukum-hukum Allah s.w.t. [Dosa-dosa Besar]


Wallahu A'lam.

KULIAH TAUHID SIRI 22

"Islam dibina atas ilmu, maksiat dibina atas kejahilan. Sombong terbina atas iblis dan Tawaduk dibina atas TAKWA." [Ad-DIn]


Wallahu A'lam.

MUHASABAH DIRI

Sepotong roti, segelas air dan sehelai kain yang diperolehi dengan jalan halal, lebih baik daripada hidup mewah dengan bermegah-megah dan sombong. [Halal & Haram] 
Sama-sama kita fikir-fikirkan.

Wallahu A'lam.

KULIAH TAUHID SIRI 21

Allah tidak memandang pada rupa, pangkat, keturunan dan harta seseorang itu. Tapi Allah memandang pada Ilmu, Ibadah, Jihad dan Takwa pada seseorang itu. [Bahrul Mazi]

Bismillahirahmanirahim.

Jadilah seorang muslim yang baik di sisi Allah Azza Wa Jalla.
Baik dari segi Ilmunya (tekun dan ikhlasnya menuntut, mengamal dan menyebarkan ilmu),
Baik dari segi Ibadahnya (niat ikhlas hanya kerana Allah dan ibadahnya menepati dengan hukum Syariat)
Baik dari segi Jihadnya (kesungguhan berkorban di jalan Allah)
Baik dari segi Takwanya (eratnya ikatan hati dengan Rabb, Penciptanya Yang Maha Esa).


Wallahu A'lam.

KULIAH TASAUF SIRI 21

"Dosa dan pahala umpama sebiji buah maka kitalah yang akan membuat pilihannya. Dalam satu hari yang mana lebih banyak dapat dikumpulkan." [Al-Hikmah]

Bismillahirahmanirahim.


Buah rambutan, mangga, manggis, langsat atau longan kita sanggup bersungguh-sungguh mendapatkannya. Untuk menikmati kemanisan buah yang sementara (lepas kenyang tak rasa manis dah).

'Buah pahala' pula tidak ramai yang bersungguh-sungguh merangkulnya walhal Allah telah membentangkan peluang yang cukup luasuntuk mendapatkannya. Sekadar senyum pun dah boleh meraih pahala.

Anehnya 'buah dosa' begitu ramai orang kumpulkan sebagai koleksi mereka sama ada secara sedar ataupun  tidak. Tengok aurat bukan mahram dah dikira dosa (dosa kering orang kata). Percuma satu buah untukmu. Apatah lagi dosa-dosa yang lebih hebat daripada itu. Inilah buah azab yang mengundang penyesalan yang tak berkesudahan jika tak bertaubat selagi nyawa dikandung badan.

Wallahu A'lam.

KULIAH TASAUF SIRI 20

"Tuan, Dato, Tan Seri dan YB. Adakah berharga semua gelaran tersebut? Jika Al-Quran kosong di hati. Hukum-hukum Allah tidak ditegakkan dan Syariat Islam tidak diamalkan." [Al-Hikam]
Mari berusaha supaya sentiasa mendampingi Al-Quran dan As-Sunnah di dalam kehidupan.

Wallahu A'lam.

KULIAH TAUHID SIRI 20

Kerosakan Iman dan kehidupan kita adalah berpunca dari pengaruh terhadap penipuan orang-orang disekeliling kita setiap hari. Terutama orang-orang yang mementingkan Harta, Kuasa, Ego & Kemegahan yang membawa kepada perbalahan, kedengkian, fitnah-memfitnah dan berlumba-lumba mengejar dunia hingga lupa halal haram dan laknat dari Allah s.w.t. [Al-Iman]

Wallahu A'lam.

KULIAH TAUHID SIRI 19

Zaman ini adalah zaman yang segala kebenaran ditolak, sedangkan setiap kezaliman dan setiap kejahatan dapat sambutan. [Minhajul Abidin]

Betapa terbaliknya umat manusia pada zaman ini. Yang betul yakni daripada ajaran Al-Quran dan Sunah Nabi s.a.w. dikatakan salah. Yang salah yakni bisikan Iblis dan Hawa nafsu pula dikatakan betul.

Wallahu A'lam.

KULIAH TASAUF SIRI 19

Orang-orang munafik selalu mementingkan luaran atau yang zahir. Sedangkan batinnya menyimpan kekejian. Penampilan mereka sebagai pahlawan padahal mereka sebenarnya ibarat binatang yang buas. [Pintu-pintu Wahyu]
Amat cocok jika Orang Munafik ini digelar "Indah Khabar Dari Rupa". Hanya Allah sahaja yang tahu tembelang mereka. Semoga kita tak tergolong dalam golongan ini.


Nauzubillahi minzalik..

Pemberitahuan

Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh pengunjung Cebisan Nur Hikmah. Semoga anda sentiasa menerima cahaya hidayah-Nya di sepanjang perjalanan hidupmu.

Untuk makluman, entri yang bakal menyusul hanya berupa:
Mesej SMS (sebagaimana yang terdapat di mukadimah) + Komen ringkas (jika perlu).

Sukacitanya saya ingin berkongsi gerak kerja blog saya yang penuh kekurangan ini:
  1. SMS kuliah agama yang diterima akan ditaip ke dalam notepad
  2. Seterusnya di cut and paste ke dalam blog 
  3. Ditambah sedikit 'perencah'(komen panjang) untuk disampaikan kepada pengunjung. 
Malangnya, masalah timbul apabila SMS yang diterima kian bertambah hari demi hari sampai tak terhurai saya dibuatnya. Oleh itu, saya terpaksa short-cutkan komentar buat sementara waktu sehingga mesej-mesej kuliah di dalam simpanan notepad menjadi sedikit.

Di kesempatan ini, saya memohon ampun dan maaf kepada para pengunjung yang dirahmati Allah atas segala kesilapan dan kelemahan sepanjang penulisan saya di  blog ini.

Sekian, wasalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh.

Isnin, Disember 20

KULIAH TASAUF SIRI 18

Rahmat Allah s.w.t. tidak akan didapati pada orang yang bermaksiat dan yang di dalam hatinya ada sifat ego dan sombong. [Pintu-pintu Wahyu]

Hindarilah perbuatan maksiat. Serta jauhilah daripada ahli maksiat.

Kikiskanlah ego. Kikiskanlah rasa sombong. Tiada manusia yang lebih tinggi darjatnya selain orang yang bertakwa kepada ALLAH.

Semoga Rahmat Allah sentiasa turun mengalir ke jiwa kita sampai akhir hayat. Amin.

Wallahu A'lam.

KULIAH TAUHID SIRI 18

Akidah atau Iman boleh menjadi batal atau rosak hanya disebabkan tiga perkara iaitu: Pangkat, Harta dan Wanita. Jika tidak mengikut Syariat Islam. [Al-Iman]
Bismillahi Rahmani Rahim.

Segala puji dan syukur hanya untuk Allah. Selawat dan salam ke atas junjungan Nabi Muhammad s.a.w., ahli keluarganya, para sahabatnya dan mereka yang mengikuti Sunnahnya hingga ke hari kiamat.

Iman itu Mutiara, kata kumpulan Raihan. Tanpa iman, manusia tiada nilai di sisi Allah. Hanya melalui iman atau akidah (tali penghubung antara manusia dan Tuhan), barulah bererti hidup ini. Kerana yang mencaturkan kehidupan kita semua adalah Allah Yang Maha Berkuasa. Dari urusan sebesar zarah, hingga nun alam kosmik. Allah memelihara alam ini dengan penuh teliti dan bijaksana untuk kita, manusia. Mengapa?

Ahad, Disember 19

TAZKIRAH

“Your Qalb (heart) cannot be compartmentalized. You cannot dedicate one piece of it to Allah subhanahu wa ta’ala and another to some other god, like wealth, status, career, spouse and so on. Allah subhanahu wa ta’ala is One, Indivisible and wants the human being to be undivided in service to Him. So long as our heart lies in a hundred places, so long as our eyes are set in a hundred directions, so long as we have many loyalties, we shall never be able to achieve that condition of ‘holding onto Allah subhanahu wa ta’ala’.”  (Ustaz Khuram Murad)
http://baikiminda.blogspot.com/2010/11/kisah-seorang-wanita-facebook.html?utm_source=feedburner&utm_medium=feed&utm_campaign=Feed:+PenaMaya+(Pena+Maya)


Bismillahi Rahmani Rahim.


Secebis komentar kata-kata Ustaz di atas:


Untuk taat dan cinta kepada Allah, tak boleh separuh-separuh. Perlu sepenuh hati, 100%. 


Dengan cara apa? Singkirkan kecintaan hal-hal duniawi di dalam hati (bahagian yang paling sukar tapi tidak mustahil). Lalu, fokuskan effort demi meraih cinta Allah dan Rasul-Nya s.a.w..

Wallahu A'lam.

Sabtu, Disember 18

KULIAH FEKAH SIRI 12

Tanda sifat munafik pada seseorang itu ialah ia lebih beristiqamah dengan urusan-urusan duniawi daripada amalan-amalan untuk Akhirat. [Al-Iqna]

Bersungguh-sungguh dalam urusan duniawi sehingga terabai urusan akhirat. Antara contoh-contoh tandanya:

  • mengambil berat berita dunia contohnya sukan daripada berita kedatangan maut dan Hari Kiamat. 
  • mengembangkan bisnes dunia daripada 'bisnes' Akhirat: matawang pahala
  • mementingkan saham dunia daripada saham Akhirat: infak, doa anak soleh, sebar ilmu bermanfaat
  • mengejar pangkat tinggi daripada mendekatkan diri kepada ALLAH
  • menjadi seorang yang pakar dalam sesuatu bidang dunia daripada fakih dalam urusan agama
  • and the list goes on...
Takutilah jika tanda ini terlekat pada diri kita. Ini bermakna Iman kita sudah dicemari virus Munafik!

Wallahu A'lam.

KELAS FARDHU AIN SIRI 7

Kesibukan dunia bukan alasan tidak boleh menuntut ilmu-ilmu agama yang Fardhu Ain (wajib dituntut oleh setiap orang Islam). Dalam Bab Iman atau Akidah, Bab Solat, Puasa, Halal Haram dan Bab Akhlak, sudah berapa kitab dapat khatam dan berapa orang Ustaz yang mengajarnya? Jika belum jangan ditangguh-tangguhkan lagi. [Mukaddimah Ilmu]
Antara kitab-kitab yang wajib dipelajari: Tafsir Al-Quran, Ilmu-ilmu Hadis, Ilmu-ilmu Akidah, Fekah, Akhlak, Sirah Islam dan Sirah Para Nabi. Jangan mudah-mudah mengabaikannya.


Wallahu A'lam.

Jumaat, Disember 17

KULIAH TAUHID SIRI 17

Jika disebut manis akan dikaitkan dengan penyakit. Begitu jugalah untuk mendapat kemanisan Iman memang ramai yang sakit. [Al-Iman]

Bismillahirahmanirahim.

Segala puji dan syukur hanya untuk Allah, Tuhan yang mentadbir sekalian alam. Selawat dan salam ke atas Muhammad bin Abdullah bin Abdul Mutalib, penghulu dan penutup segala Utusan Allah. Juga ke atas ahli keluarganya, para sahabatnya, dan para pejuang Sunnah baginda s.a.w. sehingga ke hari kiamat.

Manisnya gula membawa penyakit. Manisnya iman menjadikan orang sakit. Mengapa sedemikian? Bagi membuang penyakit, mesti merasai sakit terlebih dahulu. Seperti sakitnya memakan ubat atau merawat luka. Begitu juga dengan iman. Untuk mencapai rasa manisnya iman, kita mesti melalui 'fasa sakit' itu dahulu.

Khamis, Disember 16

KULIAH FEKAH SIRI 11

Antara tempat yang paling ramai didatangi Syaitan untuk berkumpul, di majlis kenduri kahwin yang tidak mengikut peraturan-peraturan Islam. [Jerat Syaitan]

Bismillahirahmanirahim.

Di hujung-hujung tahun ini, lebih-lebih lagi dalam masa cuti sekolah, ramai yang mengadakan majlis kenduri kahwin. Sayangnya banyak juga majlis yang tak ikut hukum Islam. Antaranya:

  • meneruskan adat tepung tawar (unsur mensyirikkan Allah)
  • menjemput kumpulan kugiran atau berkaraoke lagu yang melalaikan,
  • tiada pemisah antara lelaki dan perempuan yang akhirnya menggalakkan pergaulan di antara bukan mahram
  • makanan berlebihan sehingga berlaku pembaziran

Kemudian, para jemputan berbondong-bondonglah menuju ke majlis-majlis ini. Sedar tak sedar, 'sepasukan' Syaitan Laknatullah turut hadir memeriahkan suasana. Mereka menggoda manusia melalaikan solat, menghiaskan pandangan-pandangan nafsu pada anak-anak gadis yang tak reti berpakaian sopan (senang kata tak tutup aurat), menyebarkan kata-kata umpatan di kalangan muda dan tua, dan segala macam aktiviti Syaitan yang dimurkai Allah.

Kenapa kita mahu terlibat dengan majlis seumpama ini jika kita tahu Syaitan berada di dalamnya? Jika atas dasar memenuhi jemputan itu adalah dituntut dalam agama. Namun untuk berlama-lama di situ adalah tidak wajar untuk kesejahteraan iman.

Wallahu'alam.

MAJLIS ILMU SIRI 4

Janganlah terlalu ego dan berbangga dengan kuasa, pangkat, harta dan wang. Jika tidak diinfakkan ke jalan Allah. Nanti celaka yang akan diterima. [Khazanah Ulama']
Bismillahirahmanirahim.

Kuasa, pangkat, harta dan wang merupakan kurniaan Allah. Kenangkan kembali ketika seorang insan baru lahir di dunia. Betapa daifnya kedudukannya pada masa itu. Dengan tanpa seurat benang (harta) di badan, dia menangis-nangis memohon belai kasih-sayang daripada ibu kita (helpless without power).

Kemudian, ibu bapanya mengasuh dan mendidik sehingga menjadi 'orang yang berjaya'. Memiliki wang dan kedudukan yang tinggi. Tergerak niat di hati untuk mengejar habuan dunia hingga kelabu mata untuk membezakan yang mana halal dan yang mana haram.

Segala hukum agama ditolak ketepi. Soal infak apatah lagi. Walhal dia lupa bahawa segala kurniaan yang dia nikmati selama ini hanyalah PINJAMAN daripada ALLAH yang Maha Pemurah. Yang menuntut hak seorang hamba yang bersyukur. Melalui ketaatan berupa Takwa dan Amal Soleh.


Wallahu A'lam.

KULIAH FEKAH SIRI 10


Merasa gembira dengan perbuatan maksiat, adalah petanda mabuk syahwat telah menutup pintu hati dan kematian hati. [Madarij As-Salikin]

Bismillahirahmanirahim.

Manusia yang pada asal fitrahnya suci, menjadi hina seperti haiwan ternakan bahkan lebih teruk apabila dinodai oleh perbuatan maksiat secara konsisten. Perbuatan minum arak, dating dengan bukan mahram, menabur fitnah dan gosip tentang saudara semuslim, akan menimbulkan titik-titik hitam ke dalam hati.

Akibat daripada kelakuan yang berterusan tanpa ada usaha untuk bertaubat, akhirnya hati meredai perbuatan maksiat tersebut. Hati semakin jauh daripada Nur Petunjuk Allah subhanallahwataala. Manusia menjadi sesat malah menyesatkan orang lain. Itulah tanda hatinya sudah mati dan tertutup daripada menerima hidayah-Nya. Nauzubillahi minzalik.

Marilah sama-sama kita bermuhasabah diri kita pada hari Jumaat yang mulia ini, "Adakah aku mula berasa gembira dengan maksiat yang aku lakukan?"

Wallahu A'lam.

Isnin, Disember 13

KELAS FARDHU AIN SIRI 6

Solat tak tinggal, maksiat buat juga. Al-Quran dibaca, hukum-hakamnya tidak dipatuhi. Itulah sifat MUNAFIK. [Al-Quran dan Hadis]

Bismillahir Rahmanir Rahim.

Para pengunjung yang dirahmati Allah, marilah bersama-sama memanjatkan kesyukuran ke hadrat Ilahi yang tidak putus-putus mencurahkan kasih sayangNya kepada kita. Masih lagi bernyawa pada hari ini.. Lalu dapat menikmati kesegaran udara, kelazatan makanan dan minuman.. Juga terselamat daripada kepanasan yang terik atau kesejukan yang menikam tulang sum-sum. Alhamdulillahi Rabbil Alamin. Kesyukuran yang tidak terhingga juga kerana masih lagi menerima limpahan IMAN daripada ALLAH TAALA dan terpilih sebagai insan yang beragama ISLAM.

Khamis, Disember 9

KULIAH FEKAH SIRI 9

Ramai orang Islam tidak yakin dengan jaminan Allah dan RasulNya. Tetapi lebih yakin dengan jaminan manusia-manusia yang kafir dan munafik. [Huraian Hidayatul Salikin]
Bismillahi Rahmanir Rahim...

Apakah jaminan Allah? Apa pula jaminan Rasul s.a.w.? Tidak lain, kejayaan di Dunia dan kejayaan lagi di Akhirat. Bunyinya pun dah dahsyat! Mengapa orang kita (dibaca:umat Islam) macam endah tak endah saja jaminan ini? Kerana gersangnya IMAN! Iman sudah luntur di dada. Diwarnai pula dengan penyakit Wahan sebagaimana Hadis Rasulullah s.a.w. (biar disebut berulang-ulang sebab setiap nasihat itu bermanfaat buat orang mukmin) :

Tsauban r.a. berkata: Rasulullah SAW bersabda; “Hampir tiba suatu masa di mana bangsa-bangsa dan seluruh dunia akan datang mengerumuni kamu bagaikan orang-orang yang hendak makan mengerumuni talam hidangan mereka.” Maka salah seorang sahabat bertanya “Apakah dari kerana kami sedikit pada hari itu?” Nabi SAW menjawab, “Bahkan kanu pada hari itu banyak sekali, tetapi kamu umpama buih di waktu banjir, dan Allah akan mencabut rasa gerun terhadap kamu dari hati musuh-musuh kamu, dan Allah akan mencampakkan ke dalam hati kamu penyakit ‘Wahan’.” Seorang sahabat bertanya, “Apakah wahan itu hai Rasulullah?” Nabi menjawab, “Cintakan dunia dan takut mati.” – HR Imam Abu Daud

Selasa, Disember 7

KULIAH TAUHID SIRI 16

Mukmin, kafir dan sifat munafik. Antara tiga sifat ini yang mana lebih terdorong di dalam hidup setiap hari? [Iman dan Kufur]

Bismillahi Rahmani Rahim.

Seorang yang memiliki sifat mukmin adalah orang yang sangat-sangat beruntung. Dia berjaya membedakan antara yang benar dan yang batil kerana mengikuti hidayah Allah. Orang mukmin tidak banyak soal. Apabila mengetahui sesuatu hukum, dia menerimanya biarpun perkara itu berat baginya. Misalnya, hukum menahan pandangan mata sebagaimana firman Allah dalam surah An-Nur yang bermaksud:

(29) Katakanlah (wahai Muhammad) kepada orang-orang lelaki yang beriman supaya mereka menahan pandangan mereka (daripada memandang yang haram) dan memelihara kehormatan mereka. Yang demikian itu lebih suci bagi mereka; sesungguhnya Allah Amat Mendalam PengetahuanNya tentang apa yang mereka kerjakan. (30) Dan katakanlah kepada perempuan-perempuan yang beriman supaya menahan pandangan mereka (daripada memandang yang haram)...

Baik laki-laki mahupun perempuan, orang mukmin tertakluk kepada hukum ini. Menahan pandangan itu bukanlah bererti memejamkan mata sehingga tak nampak apa-apa di hadapan atau menundukkan kepala ke tanah saja. Tetapi pengertian yang benar adalah mengelakkan pandangan daripada memandang yang haram. Mata bebas memandang. TETAPI, apabila terpandang sesuatu yang haram, teruslah berpaling. Jangan dilihat lagi. Sedarilah bahawa Allah Maha Memandang tingkah-laku kita.

Memang saya akui untuk menjadi seorang mukmin yang sejati sangatlah berat. Ia memerlukan mujahadah (perjuangan melawan hawa nafsu) yang amat tinggi. Melihat sesuatu yang mengundang syahwat itu merupakan suatu godaan. Namun, jika iman lebih kita pertahankan berbanding kepuasan nafsu syahwat, pengorbanan mesti dibuat. Mujahadah mesti dilakukan. Itulah yang saya maksudkan dengan 'menerima hukum walaupun berat'.

Kafir dan Munafik


Orang yang memilih untuk kafir adalah orang yang tersangat rugi. Begitu juga orang yang memilih untuk menjadi sang munafik. Dia umpama membeli sebuah kerugian dengan menjual segala keuntungan yang dia miliki. Sebagai contoh, Mat meminati satu pensel ini lalu dia membelinya dengan menggadaikan kedai pensil miliknya. Nampak tak kebodohan sikap ini? Hanya orang berakal yang sihat dapat mengatakan "tidak" kepada kekafiran dan beristiqamah dalam menjaga iman di dada dengan penuh komitmen kerana amat-amat menghargainya.

Sifat mukmin akan menuntun pemiliknya ke jalan keselamatan dan penuh kenikmatan di Negeri Akhirat sana. Manakala sifat kafir dan munafik hanya akan mengundang azab seksa yang tidak terperi sakitnya. Bukan sekadar itu, balasan buat pemilik sifat-sifat ini adalah berterusan, berulang-ulang sehingga terpacul kata-kata sesalan daripada yang diseksa. Apakah setelah menerima azab yang berat ini baru manusia ingin menjauhi sifat kafir dan munafik?

Wallahu A'lam.

Isnin, Disember 6

SALAM NEW YEAR 1432 HIJRAH!

Bismillahi Rahmani Rahim.

Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh duhai pengunjung yang dikasihi Allah. Sekali lagi kita bersua di medan elektronik yang tidak mengenal batas sempadan ini, demi menyahut seruan Allah supaya berkenal-kenalan antara satu sama lain.

Alhamdulillah. Allah masih memperkenankan kepada kita untuk terus 'melihat' Tahun Baru ini. Entah berapa ramai manusia yang telah 'tertutup terus matanya'. Apa yang disisi mereka hanyalah kegelapan, kesunyian, kesempitan yang sangat tak menyelesakan, dan menjadi hidangan ulat dan cacing tanah. Tapi Allah masih memanjangkan umur kita sehingga ke saat ini. Kenapa?

Jumaat, Disember 3

BERSAHABAT DALAM ISLAM SIRI 2

Assalamualaikum para pengunjung Cebisan Nur Hikmah yang dikasihi Allah.

Bersyukurlah kita kepada Tuhan kita kerana tanpa bimbingan-Nya kita akan masih teraba-raba lagi dalam mencari tujuan hidup.

Bersyukurlah kita kepada Allah kerana sifat Rahim-Nya kita 'diajak' supaya mengenali-Nya. Kenal para Malaikat-Nya, Kitab-kitab-Nya, para Rasul-Nya, Syurga-Nya, siksa Kubur dan Neraka-Nya  dan pelbagai hal ghaib yang tak tercapai dek akal fikiran semata-mata.

Selawat (doa kebaikan Allah dan para Malaikat-Nya) semoga sentiasa tercurah kepada Pesuruh Allah yang terakhir di muka bumi ini, iaitu Nabi Muhammad s.a.w., ahli keluarganya, para sahabatnya, dan orang-orang yang ikhlas mengikutinya sehingga hari kiamat.

Izinkan saya menyambung entri yang lepas, dimana 'cebisan nur hikmah'nya seperti berikut:

Tanyalah diri sendiri, adakah kita berkawan atas dasar al-Quran dan Sunnah atau atas ajaran-ajaran Yahudi dan Nasrani?
[Ihya Ulumuddin]

Kita sudah ambil maklum secebis dasar daripada Kitabullah pada entri lalu dan perbahasannya. Kali ini insyaAllah kita lihat dasar daripada As-Sunnah atau Hadis Nabi s.a.w.

Rabu, Disember 1

SYUKUR! KEMBALI ONLINE

Assalamualaikum para tetamu yang dirahmati Allah.

Segala puja dan puji hanya untuk Allah subhanawataala yang telah mengizinkan saya meneruskan kesinambungan dakwah elektronik pada hari ini. Mohon maaf di atas kelewatan.

Dengan izin Allah, saya akan teruskan berkongsi pendapat hasil pengajian saya di dalam Taman-taman Syurga. Taman Syurga... Subhanallah! Alangkah hebat bunyinya! Tentu isinya jauh lebih mengagumkan. Namun pada hakikatnya, taman tema buatan manusia lebih kita gemari. Di mana isinya dipenuhi dengan beraneka ragam permainan untuk menghiburkan para pengunjung. Aduhai.. Keseronokan sementara lebih dicari daripada keagungan nikmat Ilahi di Akhirat sana...


Bukan maksud saya untuk memulaukan semua taman tema yang ada. Tiada halangan dalam Islam untuk berhibur. Tetapi Islam datang kepada umat manusia dengan membawa tatasusila yang paling sempurna ke dalam setiap aktiviti harian mereka. Antaranya termasuk tatasusila berhibur atau bermain...

Sabtu, November 20

BERSAHABAT DALAM ISLAM

Tanyalah diri sendiri, adakah kita berkawan atas dasar al-Quran dan Sunnah atau atas ajaran-ajaran Yahudi dan Nasrani?
[Ihya Ulumuddin]

Assalamualaikum tetamu yang dikasihi Allah. Semoga anda semua sihat rohani dan jasmani pada hari ini. InsyaAllah tinta elektronik hari ini akan berbicara tentang bab berkawan.

Cuba kita periksa diri kita, atas dasar apakah kita berkawan? Sama ada menurut...
  • Al-Quran dan Sunnah Nabi 
  • Ajaran Yahudi dan Nasrani?
Bila dah jelas dasar mana kita memihak, seterusnya mari kita periksa kembali apakah dasar-dasar yang disediakan oleh Al-Quran dan Sunnah tentang bab berkawan?

Jumaat, November 19

KULIAH HADIS SIRI 2

Sabda Rasulullah s.a.w, "Barangsiapa yang bertambah ilmu tetapi tidak bertambah takwanya, sesungguhnya tidaklah bertambah ia daripada Allah melainkan semakin jauh dari-Nya."
Begitulah 'sifir'nya. Apabila bertambah ilmu, (seharusnya) bertambahlah takwa kita kepada Allah. Terasa makin dekat diri dengan Allah, Tuhan Pencipta Langit dan Bumi ini. MasyaAllah. Justeru, ego diri semakin mengecil di hadapan kebesaran Tuhan Yang Maha Agung dan merasa bertambah takut daripada membuat maksiat terhadap-Nya. Sebaliknya, apabila bertambah ilmu tapi tidak bertambah takwa, maka bertambah kufurlah insan malang itu.

Khamis, November 18

KULIAH TASAUF SIRI 17

Bila hati direlakan dikuasai oleh Iblis, maka apa-apa yang datang dari Al-Quran dan Sunnah diabaikan dan dipertikaikan.
[Huraian Al-Hikam]



Hati ini boleh diumpamakan sebagai antena yang berupaya menangkap gelombang radio. Sama ada siaran langsung atau ulangan. Mengapa saya kata sedemikian?

Rabu, November 17

KELAS FARDHU AIN SIRI 5

Jika mengorbankan masa dan tenaga untuk DUNIA, pada zahirnya memang menguntungkan tapi hakikatnya adalah rugi dalam pandangan Islam.
[Al-Ibadah]

Bismillah Ar-Rahman Ar-Rahim.

Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh wahai sahabat-sahabatku yang dikasihi Allah.

Setiap insan yang dilahirkan di bumi ini pasti memiliki hala tuju dalam hidup. Sama ada hala tuju itu akan menghantarkan dia ke jalan kebahagiaan. Atau akan menghantarkan dia ke jalan kebinasaan. Tiada pilihan ketiga. Oleh itu, perkara paling mustahak untuk difikirkan ialah apakah hala tuju hidupnya?

Selasa, November 16

SALAM AIDIL ADHA 1431H


“Tidak ada amalan yang dilakukan oleh anak Adam pada Hari Raya Korban yang lebih disukai Allah melainkan menumpahkan darah (menyembelih binatang korban). Sesungguhnya binatang korban itu akan datang pada Hari Kiamat bersama tanduk, kuku dan bulunya dan Allah memberi pahala ibadah korban itu sebelum darah binatang korban itu jatuh ke bumi. Oleh itu, elokkanlah korban kamu.” Hadis riwayat Tirmidzi, Ibnu Majah dan Hakim
Bismilllahirahmanirahim.

Assalamualaikum warahmatullahi barakatuh buat para pengunjung Cebisan Nur Hikmah. Pada kesempatan ini saya ingin mengucapkan selamat Aidil Adha buat anda semua dan selamat berkorban demi meninggikan Syiar Islam di bumi Allah ini.

Ahad, November 14

KULIAH HADIS SIRI 3

Rasulullah s.a.w. bersabda: Siapa yang tidak berterima kasih kepada manusia, ia tidak bersyukur kepada Allah.
[H.R. Imam Tirmizi]

Bismillahirahmanirahim..

Segala pujian hanya untuk Allah, Tuhanku dan kamu. Selawat serta salam ke atas Baginda Muhammad Bin Abdullah s.a.w. Pesuruh Allah yang agung dan hamba Allah yang menjadi buah hati Tuhannya.

Mesej Baginda ringkas saja tetapi padat. Barangsiapa yang tidak menghargai kebaikan orang lain, ertinya dia tidak menghargai kebaikan Tuhannya. Mengapa?

NOTA HATI

Hati yang ada dalam diri adalah hak milik Allah yang diberikan pada anda. Maka sentiasalah bersihkan hati dengan banyak beristighfar dan isikan dengan Zikrullah. Jangan biarkan hati itu dikotori dengan dosa-dosa besar dan maksiat. Jangan biarkan hati dimasuki Syaitan. Ingatlah! Hati itulah yang akan dibawa menghadapi Allah di Akhirat nanti.
Apa-apa yang ada pada kita tak kira nyawa, kenikmatan hidup, keamanan dan keselamatan, semuanya adalah hak milik Allah. Kita hanya pinjam saja dari DIA. Oleh itu, jagalah segala hak-hak Allah ini dengan sebaiknya. Iaitu dengan mengikut ajaran Islam sepenuhnya. Bukan ambil sebahagian ajaran yang sesuai dengan nafsu kita dan buang sebahagian ajaran yang tak sesuai. Alangkah durjananya sikap begini! Siapakah diri kita dalam menentukan perkara ini baik atau perkara itu buruk? Sedangkan ilmu yang telah diketahui sepanjang sejarah manusia hanya umpama setitik air di dalam sebuah lautan jika dibandingkan dengan Allah Yang Maha Mengetahui, Maha Bijaksana.

Antara hak milik Allah yang sangat berharga adalah hati. Sayangilah hati yang Allah pinjamkan kepada kita. Kerana hati itu umpama raja kepada badan kita. Buruk hati, maka buruklah seluruh tindak-tanduk kita. Apakah kita mahu menghadap Allah Taala dengan hati yang buruk? Adakah kita selesa dengan hati yang penuhi rasa takbur dan besar diri, prasangka, hasad dengki, tamak haloba, pendendam, dan pelbagai penyakit hati yang lain? Perbaharuilah Syahadah. Segerakanlah Taubat. Dan perbanyakkan memohon Ampun kepada Allah dan banyakkan Amal Soleh sebagai penghapus dosa-dosa kita.

Wallahu A'lam.

Sabtu, November 13

MAJLIS ILMU SIRI 3

Orang-orang Islam hari ini lebih menyibukkan diri dengan keseronokan dan kemewahan dunia saja. Untuk hari Akhirat diabaikan.
[Al-Ilmi]
Bismillahirrahmaanrrahiim.

Seluruh kepujian untuk Allah yang Maha Bijaksana, Maha Mulia. Yang telah mengutus Rasulullah s.a.w. kepada kita untuk menyampaikan Wahyu-Nya. Yang terkandung di dalamnya aturan-aturan hidup yang sempurna yakni Islam. Selawat dan salawat buat Nabi Muhammad s.a.w., ahli keluarganya, para sahabatnya serta mereka yang mengikuti Nabi s.a.w. dengan sangat tekun dan jujur.

Jumaat, November 12

TAUBAT

Dosa semakin melimpah, hingga bumi tak sanggup menanggungnya dan lautan juga tak sanggup mencucinya. Maut sudah semakin dekat namun manusia masih lagi melambatkan Taubat.
[Minhajul Abidin]


Aku rasa lemah bila memikirkan hal ini. Kenapa diriku masih kekal berbuat dosa sedangkan bumi tak pun sanggup kerana demikian banyaknya. Kenapa diriku masih bermuka tebal melanggar hukum-hukum Allah sedangkan kekotoran dosa semalam pun masih tak tercuci dengan air lautan?



Aduhai... Kehinaan menyelubungi hidupku dek kebiadapanku melawan Tuhan. Malah mengangkat hawa nafsu dan Syaitan sebagai tuhan.

Aduhai... Bahkan kehinaan akan terus mencengkam jasad dan rohaniku. Selagi taubat belum dimulai!!!

Wallahu A'lam.

KULIAH FEKAH SIRI 8

Mata yang sakit akibat banyaknya menangis kerana takut kepada Allah adalah lebih baik daripada mata yang sihat tapi banyak melihat maksiat.
[Al-Ibadah]



"Maka yang mana satu di antara nikmat-nikmat Tuhan kamu, yang kamu hendak dustakan?" (Surah Ar-Rahman)

Astaghfirullahal 'adzim... Mataku telah banyak membuat maksiat terhadap-Mu. Alangkah hinanya diriku kerana sering melalaikan nikmat kesihatan mataku ini. Andainya Engkau cabut mataku sekarang atau menjadi sakit, sudah tentu terlewat bagiku untuk mensyukuri nikmat ini.

Wallahu A'lam.

KULIAH TASAUF SIRI 16

Hati yang jahil merasakan Allah itu jauh darinya. Maka amat mudahlah ia terjerumus ke dalam kemaksiatan.
[Ibnul Jauzi]


Begitulah hakikatnya. Hubungan di antara sahabat menentukan tahap kesetiaan dalam persahabatan mereka. Jika sering berhubung maka semakin mengenali dengan diri sahabatnya. Dalam kata lain, dia semakin 'berilmu' akan sahabatnya. Kenal apakah kesukaan dan kebenciannya. Malah dia akan berusaha menggembirakan sahabatnya disamping berusaha mengelak daripada menyinggung perasaannya.

Allah adalah Tuhan seluruh Alam yang fana ini. Bahkan kerana Dia, kita dihidupkan. Dan akan dimatikan serta dihidupkan kembali di Padang Mahsyar kelak. Bermula dengan menyedari hakikat ini, telah cukup bagi kita untuk mengenal Allah sebagai Tuhan Yang Maha Pencipta. Maha Tinggi Lagi Maha Berkuasa. Oleh itu, tanamkanlah kesedaran ini ke dalam lubuk hati kita yang paling dalam. Agar kita tidak diselubungi kejahilan yang merugikan. Kejahilan yang menarik diri kita kepada dosa dan maksiat.

Wallahu A'lam.

Rabu, November 10

KULIAH HADIS

Rasulullah s.a.w. bersabda: Barangsiapa yang kebaikannya menjadikannya senang dan keburukannya menjadikannya sedih, maka dia adalah orang mukmin.
[H.R. Al-Hakim]

Bismilllahirahmanirahim.

Alhamdulillah, syukur kepada Tuhan yang sentiasa menyayangi hamba-hambaNya lagi melimpah-ruah rahmat/belas kasihan-Nya. Allah telah menciptakan kita dari tiada kepada ada. Tidak cukup dengan itu, Dia membekalkan kita dengan sumber-sumber untuk terus hidup seperti bekalan udara, air, makanan, pakaian dan sebagainya.

Isnin, November 8

KULIAH TASAUF SIRI 15

Jika diri dibiarkan terus-menerus dalam kejahilan. Maka selama itulah juga amalan-amalan soleh tidak diterima oleh Allah.
[Al-Ilmi] 

Buat amal tanpa ilmu. Bagaimana nak sampai kepada tujuannya iaitu Allah? Bagai Sang Goofy memancing ikan tanpa ilmu, tak sampai-sampai tali pancingnya ke dalam kolam. Dipancing bukannya ikan, tapi punggungnya sendiri.

Alangkah hinanya hidup orang yang jahil. Disangka baik perbuatannya walaupun buruk. Malah membinasakan diri. Sanggupkah anda termasuk dalam golongan yang jahil??

Wallahu A'lam.

KELAS FARDHU AIN SIRI 4

Jangan biarkan terus Hati ibarat daun keladi. Nanti akibatnya jasmani akan menanggung derita dan seksa.
[Al-Hikmah]
 
Bagaimana hati boleh jadi daun keladi? Daun yang tak menerima apa-apa kesan daripada air yang menimpanya? Hal ini terjadi apabila hati sudah lama tidak 'disajikan' hidangan-hidangan rohani. Sudah jarang mendengar hal-hal berkaitan Allah. Kepemurahan-Nya, kebijaksanaan-Nya, ketelitian-Nya, kasih sayang-Nya, kesantunan-Nya dan sebagainya.

Hati jarang mendengar berkaitan peristiwa-peristiwa Hari Akhirat: kedahsyatan Padang Mahsyar, neraca timbangan amal Al-Mizan yang sungguh tepat dan menakjubkan, titian As-Sirat yang sangat-sangat halus dan tajam,  Syurga yang sangat menggembirakan hati kerana keindahan dan kenikmatannya, dan Neraka yang sangat kejam lagi penuh derita kerana seksaan-seksaannya yang berulang-ulang dan sentiasa pedih!

Hati jarang benar menyelami kisah kekasih Allah subhanawataala, Nabi Muhammad s.a.w. yang amat kasihkan kita semua, umatnya! Bagaimana pengorbanannya demi menyampaikan risalah dakwah Islam kepada umat manusia. Betapa diri suci baginda dihenyak dengan lemparan tahi, pukulan tangan-tangan zalim dan dicederakan dengan balingan batu-batu kanak-kanak di Taif. Namun Nabi tenang dan bersabar. Malah Nabi s.a.w. mendoakan semoga suatu hari nanti darah keturunan penduduk Taif ini mendapat hidayah Islam daripada Allah. Selain itu, bagaimana keindahan akhlak Nabi s.a.w. dalam bergaul sesama keluarganya, kaum kerabatnya, para sahabatnya, orang-orang miskin, anak-anak yatim, malah sesiapa sahaja tanpa mengira darjat, pangkat dan harta.

Mungkin hati jarang diingatkan tentang dosa dan pahala. Tentang kelebihan dan kemuliaan yang diganjarkan kepada orang yang beramal dan kerugian, penyesalan, kehinaan yang bakal dirasai oleh ahli maksiat.

Saudara-saudara yang saya kasihi, berhati-hatilah supaya hati tidak berubah menjadi seperti daun keladi. Kerana ketika itu, hati pun sudah mati. Terputuslah suluhan hidayah Allah untuk mengetuk pintu hati walaupun secebis nur hikmah.

Wallahu A'lam.

Sabtu, November 6

KULIAH TAUHID SIRI 15

Seutama-utama syukur ialah membesarkan perintah-perintah suruh dan menjauhi larangan-larangan dari Allah.
[Al-Iman]

"Alangkah nikmatnya hidup! Alhamdulillah...", semulia-mulia lafaz kesyukuran kepada Ilahi. Bila dikenang-kenang kembali, betapa banyak limpah kurniaan Allah subhana wa taala kepada diri kita.



Lihatlah nikmat kejadian diri kita yang sempurna fizikalnya. DIA mengurniakan dua biji mata kepada kita yang dapat melihat. Cuma bayangkan kalau Allah tarik balik nikmat ini. Jadilah kita buta tidak dapat melihat. Tak tahu apakah itu cantik, apakah itu hodoh. Apakah itu warna. Bagaimanakah bentuk bulat atau petak bersegi-segi. Tak tahu rupanya bulan, bintang dan matahari yang Allah dah ciptakan begitu indah berseri-seri sekali.

Pernahkah kita terasa begitu nikmat bila dapat melihat ciptaan-ciptaannya yang indah-indah? Seperti pokok-pokok yang tumbuh menghijau? Atau sungai-sungai yang mengalir lembut ? Atau nikmat pemandangan pelangi yang berwarna-warni di dada langit? Atau masih mampu menatap wajah ibu bapa kita yang tercinta? Bukankah ini semua menuntut syukur dari kita?

Allah berfirman yang bermaksud:
''Dan kalau mahu menghitung nikmat Allah, nescaya tidaklah kamu menghitung (seluruhnya) dan sesungguhnya Allah Maha Pengampun lagi Maha Penyayang'' (surah al-Nahl:18)

Setakat memikirkan nikmat penglihatan sahaja sudah begitu berat untuk dihitung (dan tak mampu dihitung). Belum mengenangkan nikmat intelek, nikmat Islam, nikmat keafiatan, nikmat persaudaraan, nikmat keamanan, dan banyak lagi!!

Oleh itu, sangat wajar bagi kita mensyukuri segala anugerah-anugerah Allah ini. Tak cukup dengan ucapan tahmid (Alhamdulillah). Tapi cara bersyukur yang paling baik adalah dengan menjadi hambanya yang taat. Membuat apa yang disuruh agama, meninggal segala apa yang dilarang. Kerana itulah sebaik-baik cara seorang hamba bersyukur.


Wallahu A'lam.
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...