Sabtu, Oktober 22

SIFAT WAJIB ALLAH

Kitab Risalah Tauhid.
Antara sifat wajib Allah ialah Qiyamuhu binafsi iaitu berdiri dengan sendirinya. Tuhan terkaya daripada manfaat sesuatu yang lain.
Bismillahi rahmani rahim. Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh sahabat-sahabatku sekalian. Moga hatimu sihat walau di mana anda berada. InsyaAllah.

Sedikit perkongsian tentang kuliah maghrib dalam base Lumut semalam. Allah mempunyai sifat yang Maha Agung. Dia tidak berhajat kepada apa-apa, kepada sesiapa pun. Berbeza dengan makhluk. Manusia sentiasa berhajatkan kepada sesuatu. Bahkan yang bergelar jutawan sekalipun berhajat. Iaitu kepada wang yang berjuta-juta itu. Tanpa wang berjuta-juta, tidaklah dia digelar seorang jutawan.

Sesuatu yang berkepentingan, makhluk mesti berhajat kepadanya. Contohnya udara. Mana ada manusia atau binatang yang tak perlukan udara. Jika beberapa minit tak dapat udara, badan akan binasa. Begitu juga makhluk berhajat kepada makanan, harta, kasih sayang, keamanan, kesihatan, dan sebagainya yang berkait rapat dengan kehidupan.

Allah Taala tidak sebegitu. Maha suci Allah daripada berhajatkan apa-apa sekalipun. Kerana Dia Al-Khaliq, pencipta segala sesuatu. Tak logik jika selaku pencipta memohon sesuatu daripada yang diciptakan, bukan? Namun timbul persoalan, adakah Allah berharapkan apa-apa manfaat daripada hukum-hakam yang ditetapkan oleh-Nya kepada manusia? Sedangkan Allah terkaya? Apakah tujuan syariat-Nya diturunkan? Syariat-syariatNya yang berupa hukum wajib, harus, sunat, haram, makruh, fardhu ain, kifayah dan sebagainya. Apakah tujuannya? Tak lain tak bukan, faedahnya adalah untuk manusia jua. Bukan untuk Dia.

Allah berfirman dalam surah Al-Baqarah ayat 110 yang bermaksud:
" Dan laksanakalah solat dan tunaikanlah zakat. Dan segala kebaikan yang kamu kerjakan untuk dirimu, kamu akan  mendapatkannya (pahala) di sisi Allah. Sungguh, Allah Maha Melihat apa yang kamu kerjakan". Oleh itu, setiap amal ketaatan manusia, pulangannya adalah kebaikan. Manakala kedurhakaan manusia, balasan yang ditanggungnya adalah keburukan, kehinaan dan azab.

Perintah solat.
Adakah Allah tagih solat kita? Tidak sesekali! Bahkan kitalah yang mendapat manfaat solat itu. Begitu juga dengan apa-apa perintah mahupun larangan dari Allah Subhanahu wa Taala. Allah larang umat Islam meminum arak bukan kerana kerajaan Allah bertambah kukuh jika hamba-hambaNya di bumi meninggalkan larangan tersebut. Kerajaan Allah takkan terjejas walaupun seluruh umat manusia minum arak! Sebaliknya, yang akan binasa adalah umat manusia yang kufur itu! Mereka yang mencampakkan diri ke lembah kenistaan dan kehinaan. Larangan Allah itu untuk kebaikan manusia. Walaupun nafsu kurang menyenanginya, mungkin rasa tak bebas seperti kaum kafir, tapi sebenarnya Allah hendak menjaga kemuliaan orang Islam dengan menetapkan larangan-laranganNya yang penuh hikmah itu. Sama-samalah kita menjadi hamba-Nya yang taat tanpa mempersoalkan hukum ketentuan Allah.

Kesimpulannya, Allah bersifat Qiyamuhu binafsihi. Dia lah Tuhan yang terkaya dari segala sesuatu. Berlepas diri daripada bergantung sebarang kebaikan sesuatu yang lain. Moga maklumat ini bermanfaat buat kita.

Wallahu A'lam.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...