Rabu, Jun 30

MENGHAMPIRI ZINA

Islam melarang lelaki dan wanita beriman yang bukan mahram berdua2an(couple). Ia akan mengundang kepada maksiat dan hilang kehormatan dan maruah diri.

[Bila Zina Menjadi Budaya]

Begitulah yang sering diperkatakan di dalam kuliah-kuliah agama. Para ustaz cenderung untuk sesekali membicarakan topik ini. Bab couple. Mengapa harus perkara ini dibicarakan? Ini kerana amalan bercouple merupakan amalan yang dilobi oleh musuh-musuh Islam: Yahudi dan Nasrani. Dan amalan ini sudah melarat dan berakar tunjang dalam masyarakat Islam di seluruh dunia amnya, dan di Malaysia khasnya.

Alangkah malang bagi kita (yang memiliki iman dan dapat memisahkan yang benar dan yang batil) untuk membiarkan kemaksiatan ini terus berlaku. Couple adalah budaya Yahudi dan Nasrani. Tak dapat dinafikan sama sekali. Cuba kalian periksa sejarah Islam dahulu, adakah berlaku budaya bercouple...

di zaman Rasulullah dan para sahabat? atau
di zaman Tabiin dan Tabiut Tabiin? (murid-murid para sahabat Nabi) atau
di zaman generasi Islam yang gemilang seperti pemerintahan Umar ibn Aziz?

Jika kalian tidak ketemui budaya ini dalam zaman-zaman berikut, maka yakinilah bahawasanya couple tak diajar dalam Syariat Islam. Bahkan ia DIMURKAI ALLAH. Mengundang kehinaan diri. Berisiko tinggi untuk tenggelam dalam lembah ZINA dan buang anak (PEMBUNUHAN). Dua kali dosa akan terbit dari situ...

Penulisan ini mungkin berbau emosi tetapi ia adalah penegasan supaya kita meninggalkan kejahilan ini dengan sungguh-sungguh. Mudah-mudahan Allah beri petunjuk ke atas kita.

Wallahu A'lam.

Isnin, Jun 28

KULIAH TAUHID SIRI 8

Pernahkah kita menangis kerana takut kepada Allah? Jika belum, itu maknanya hati masih dikotori dengan dosa2 yang dilakukan.

[Al-Iman]

Hati menjadi berat apabila melakukan perbuatan dosa. Berat untuk mengakui kesalahan diri. Alhasil, payah untuk menerbitkan RASA BERSALAH kepada Tuhan. Hati menjadi berat dan keras. Bagaimana untuk menangis kerana takut kepada Allah?

Mari periksa diri kita. Adakah hati ini kotor? Dan adakah ingin DIBIARKAN ia kotor dan terus kotor???

Wallahu A'lam.

Selasa, Jun 22

KULIAH TASAUF SIRI 9

Api di dunia ini juga berdoa agar tidak dikembalikan ke Neraka nanti. Nampak, Api dunia pun takut dengan Neraka Allah. Bagaimana dengan kita?

[Azab Neraka]
Jika api dunia pun takut dengan Neraka Allah, mengapa tidak kita manusia yang sangat lemah lagi hina.

Yang berasal daripada Tanah yang dipijak-pijak...

Terhasil daripada pancaran air mani yang keluar daripada kemaluan...

Tubuh yang lemah tidak dapat bertahan dengan api dunia barang seminit!!!

Berdoalah kita sebagaimana DIA telah ajari kita di dalam al-Quran, mudah-mudahan selamat dari Seksa Api Neraka.

"Wahai Tuhan kami, berilah kami kebaikan di dunia dan kebaikan di akhirat dan peliharalah kami dari azab Neraka" (al-Baqarah:201)

Wallahu A'lam.

Isnin, Jun 21

KULIAH TASAUF SIRI 8

Orang yang merasa seronok melakukan dosa sama ada dosa kecil atau besar, itulah yang akan menjadikan ia sengsara.

[Ihya Ulumuddin]

Seronok membuat maksiat? Tiada yang mengejutkan pada pernyataan ini apabila kita menerobos aktiviti-aktiviti masyarakat kita bahkan umat manusia hari ini. Alangkah sia-sianya hidup bagi mereka yang melakukan dosa kerana seronok yang seketika. Dan menerima AKIBAT daripada dosa mereka yang kekal selamanya di Akhirat.

Selasa, Jun 15

KULIAH TAUHID SIRI 7


Bala bencana berlaku dimerata-rata. Apakah kita sudah bersiap sedia untuk menghadapinya? Apakah kita masih lagi berseronok dan leka dengan tipu daya dunia ini? Bagaimana pula dengan IMAN kita, sudahkah diperbaharui atau sudahkah diperkukuhkan?

[Iman dan Kufur]

Mari duduk sejenak. Sudilah kiranya meluangkan masa.

Merenung dan berfikir. Melihat dengan mata hati kita..

Isnin, Jun 14

KULIAH TAUHID SIRI 6



Kekuatan pegangan agama seseorang itu bergantung pada Iman, kefahaman dan juga pada penghayatannya.

[Ad-Din]



Biar badai melanda...

Ombak mengganas...

Terpaksa menongkah arus...

Ancaman, tekanan datang dari pelbagai pihak yang tak sukakan Islam...





Islam tetap dia pegang seteguh-teguhnya. Itulah tandanya...

Memiliki pegangan agama yang kuat! Hasil pemahaman yang betul, penghayatan yang dicernakan melalui perbuatan amali. Sama-sama kita semak kembali sejauh mana kuatnya pegangan kita. InsyaALlah.

Wallahu A'lam.

Rabu, Jun 9

KULIAH TASAUF SIRI 7


Disebabkan dosa dan maksiat yang kerap dilakukan oleh orang-orang Islam maka agama Islam menjadi aib di mata orang-orang kafir.
 [Al-Hikam]


Contoh maksiat seperti pergaulan lelaki dan perempuan tanpa batasan agama yang mengakibatkan zina dan akhirnya kes buang anak. Orang kafir pun malu melihat hal ini.


Selain itu, dosa menghisap rokok dikalangan umat Islam bahkan ada yang sedang berketayap melakukannya. Dari satu sudut individu itu mengambil sunah iaitu menutup kepala tapi pada pandangan yang menyeluruh, dia telah mengaibkan agama Islam dengan memegang identiti Islam sambil melakukan dosa (hisap rokok).


Bagaimana orang kafir mahu mengikut Islam???


Wallahu A'lam.

Jumaat, Jun 4

KULIAH FEKAH SIRI 4

Takutlah dengan dua perkara iaitu jika amalan-amalan soleh tidak betul dilaksanakan dan takut amalan-amalan soleh tidak diterima Allah.

[Minhajul 'Abidin]

Secebis peringatan bagi kita supaya berhati-hati dalam melaksanakan ibadah. Jangan buat sambil lewa. Jangan beribadah tanpa ilmu. Jika tidak, masakan DIA yang Memiliki Kebesaran dan Keagungan menerima ibadah semacam itu?


Saf depan tak dipenuhi dan tak rapat. Antara contoh ibadah sambil lewa dan tak diambil perhatian oleh masyarakat kita.

Wallahu A'lam.

KULIAH TASAUF SIRI 6

Hanya orang yang mantap Imannya sahaja yang akan rasa takut dan menangis apabila melihat maksiat-maksiat yang berlaku pada hari ini.

[Cahaya Atas Cahaya]


Sensitiviti hati, perasaan kita, terkait rapat dengan iman. Sangatlah cocok jika digandingkan cebisan ilmu di atas dengan nasihat Nabi kesayangan kita, Rasulullah SAW yang bermaksud:

“Seorang yang beriman memandang dosanya ibarat melihat gunung di atas kepalanya. Ia takut sekali, kalau-kalau gunung itu menimpa dirinya. Sedangkan orang munafik memandang dosa itu ibarat lalat terbang di depan hidungnya. Ia membiarkan saja lalat tersebut terus terbang.”[Riwayat Imam Bukhari]

Mari renung sebentar. Adakah kita peka dengan dosa, maksiat-maksiat disekeliling kita? Tepuk dada tanyalah iman.

Wallahu A'lam.

Khamis, Jun 3

KELAS FARDHU AIN SIRI 2

Universiti bukan jalan untuk menempah kejayaan dan juga, bukan sebuah gedung ilmu yang boleh dibeli dengan wang untuk meraih segulung Ijazah dan Tauliah. Jika kosong dari ilmu-ilmu Al-Quran.

[Harga Segulung Ijazah]

Ya, universiti adalah menara gading dimana orang berusaha mencapainya dan menjadi idaman setiap pelajar yang bercita-cita tinggi. Melahirkan para jurutera, doktor dan saintis yang hebat-hebat. Tapi sia-sia jika kosong ilmu agamanya.

Bab ini mungkin sensitif bagi sesetengah orang kerana mereka telah meyakini pendirian mereka betul. Tapi atas dasar apa kita menetapkan sesuatu perkara itu sebagai 'Betul'? Adakah atas dasar budaya masyarakat atau mengikut arus peredaran zaman? Adakah atas dasar ikut-ikutan penilaian manusia semata-mata?

Sebenarnya kawan-kawanku, untuk menilai apa-apa jua perkara, mestilah atas dasar agama. Yakni agama ISLAM. Allah telah meredai hanya atas jalan agama inilah manusia dapat hidup dengan sukses. Maka kembalilah kepada Islam. Selaklah kembali lembaran-lembaran Al-Quran. Selusurilah perjalanan Rasul-Nya, Nabi Muhammad s.a.w. disamping tidak mengabaikan ilmu-ilmu duniawi demi menggalas tanggungjawab sebagai Khalifah Allah di Bumi.

Wallahu A'lam.

KULIAH TASAUF SIRI 5

Maksiat luaran boleh dihentikan hanya dengan menghapuskan maksiat dalaman terlebih dahulu. Dengan berpandukan Al-Quran.

[Syarah Al-Hikam]

Berdasarkan kuliah di atas, suka saya mengambil contoh hidup di dalam pusat latihan tertentu seperti tentera, polis atau bomba. Mengadakan training yang berkualiti dan intensif tidaklah ditegah dalam Islam. Tetapi yang menjadi persoalan adalah memberi punishment atas dasar NAFSU haiwani yang ada pada diri orang atasan. Bukan atas dasar sebagai latihan kepada para pelatih.

Maka hal ini terkategori dalam istilah maksiat. Maksiat seperti mengkucar-kacirkan hidup orang lain tanpa alasan yang wajar adalah berasal daripada maksiat hati iaitu sifat sombong, takbur dengan kuasa yang ada untuk menindas orang bawahan.

Oleh itu, hapuskanlah maksiat dalaman ini dengan menjernihkan akidah kita. Memperteguhkan keimanan kita kepada Allah dan Hari Akhirat. Mengingati balasan Allah kepada orang yang membuat zalim. Menyedari adanya malaikat Raqib dan Atid yang mencatat amal baik dan buruk kita setiap masa. Dan lain-lain hal keimanan yang menyangkut tindak-tanduk kita di dunia. Hati-hatilah ketika membuat sesuatu tindakan.

Wallahu A'lam.

Rabu, Jun 2

KULIAH TAUHID SIRI 5

Tanda orang yang Allah Taala reda dengan pangkat dan kuasa yang dikurniakan kepadanya, sibuknya tidak menjejaskan amal-amal ibadah dan kelas-kelas Fardhu Ain atau kuliah agamanya.

[Ihya Ulumuddin]

Reda berkait dengan rasa kasih sayang. Oleh itu, reda Allah terhadap hamba-Nya menunjukkan bahawa Dia mengasihi dan menyayangi hamba-Nya itu tak kira apa pilihan tindakan yang dia buat.

KULIAH TASAUF SIRI 4

Bila mengenal diri dan menyucikan jiwa maka akan tersingkaplah segala hijab dan terloronglah cahaya kebahagiaan dan kebenaran.
[Al-Hikmah]

Kenalilah diri anda. Tanyalah diri, "Who am I?". Adakah seorang manusia yang menghambakan diri kepada dunia(dan isinya seperti pangkat, nama, harta, wanita dan macam-macam lagi hiasan yang fana) atau hamba Allah Taala, Tuhan Maha Pengasih Maha Penyayang, Yang Maha Pencipta lagi Maha Menguasai seluruh alam semesta yang terbentang luas ini. Mari letakkan diri kita di tempat yang sebenarnya iaitu HAMBA ALLAH. Dan berperanan sebagai KHALIFAH FIL ARDH.

InsyaAllah,  maka akan nampaklah baginya jalan-jalan kebahagiaan dan kebenaran.Wallahu A'lam.

KELAS FARDHU AIN

Jangan hairan bila ada orang mampu mengangkat benda berat hingga berkilo-kilo. Tapi yang sepatut dihairankan ada orang yang tak mampu mengangkat selimut untuk bangun solat Subuh.
[Al-Ibadah]


Manusia. Pelik tapi benar.Wallahu A'lam.

MAJLIS ILMU SIRI 2

Ilmu adalah nur cahaya yang dipancarkan ke dalam hati. Maksiat dalam diri pula dapat memadamkan cahaya ilmu.

[Bahaya Maksiat]

Ilmu pelita hidup. Begitulah saban hari kita mendengarnya ketika belajar di sekolah dahulu. Memang ada benarnya. Mana tidaknya, dengan ilmu manusia dapat menyuluh penghidupannya ke jalan yang benar dan lurus. Dari ilmu datangnya iman. Sebagaimana Allah Taala memperkenalkan Al-Quran kepada Rasulullah s.a.w. dengan turunnya ayat-Nya yang menyuruh manusia "IQRA!" yakni bacalah.
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...