Isnin, Januari 17

CEBISAN TAZKIRAH

Kitab Dosa-Dosa Besar.
Ada berbagai-bagai kezaliman yang dilakukan oleh manusia hari ini. Kezaliman sesama manusia, kepada binatang dan tumbuh-tumbuhan. Jika tidak bertaubat, di Akhirat nanti akan menerima sengsara yang amat berat.
Oleh itu jagalah iman dan amal kita daripada berbuat zalim sesama makhluk Allah. Tak kira manusia, haiwan, mahupun tumbuhan. Agar penyesalan yang tak berkesudahan tak tertimpa ke atas diri kita di Akhirat nanti.


Wallahu A'lam.

JANJI MANUSIA

Kitab Bimbingan Mukmin.
Kebanyakkan orang Islam zaman ini, memenuhi janji bukan pada tempatnya dan takut hendak memenuhi janji juga bukan pada tempatnya. Inilah sifat orang zalim.

Memenuhi janji bukan pada tempatnya. Contoh, berjanji akan menghadiri kelab malam dengan rakan taulan. Atau berjanji untuk ber'dating' dengan teman pacaran. Itu janji yang diharamkan agama dan wajib untuk dimungkiri.

Kes kedua, takut memenuhi janji bukan pada tempatnya. Contoh, takut untuk berjanji belajar bersungguh-sungguh, menghadiri majlis ilmu, memenuhi jemputan saudara seakidah, dan takut untuk berubah menjadi insan yang lebih mulia disisi Allah. Janji ini amat dituntut agama kerana manfaat besarnya kepada iman. Janganlah mengelak daripada membuat janji sebegini. Sampai bila mahu terus hidup dalam kegelapan kejahilan dan kesesatan?

Wallahu A'lam.

Ahad, Januari 16

KULIAH FEKAH SIRI 27

Kitab Al-Iman.
Kemenangan Islam pada seseorang itu bila dia kerap solat fardhu berjemaah. Rajin solat sunat Dhuha. Rajin solat sunat Tahajjud. Istiqamah mengamalkan Ma'thurat dan puasa sunat Isnin dan Khamis. Dan juga rajin membaca Al-Quran.
Jagalah solat secara berjemaah di masjid atau surau mukim kita. Syiar Islam dapat ditegakkan dalam masyarakat kita dari sudut ini. Apabila masyarakat non muslim melihat adanya pemuda-pemuda Islam yang berbondong-bondong ke Masjid setiap kali azan bergema. Juga melihat pakcik-pakcik dan anak-anak kecil yang dilatih untuk berjemaah. Dengan izin Allah, hidayah Allah menerangi masyarakat yang menjaga Syiar ini dan menusuk masuk ke hati-hati masyarakat non muslim.

Jagalah solat Dhuha kerana di dalamnya terkandung khazanah Allah Yang Maha Agung. Bakal menyerlahkan potensi manusia dan menarik rezeki yang melimpah ruah bagaikan besi berani! Mana mungkin Islam tak menang jika setiap umatnya memperhatikan ibadah sunat yang penuh kehebatan ini?

Rajinlah bertahajud. Pada hemat saya yang daif, solat tahajud boleh dikatakan penghulu segala solat sunat. Di mana Allah turun ke langit bumi (sesuai dengan sifat kebesaranNya yang tiada persamaan dengan mana-mana makhluk) dan mendengar rintihan doa para hambaNya yang solat malam. Setiap permintaan dimakbulkan, setiap dosa diampunkan dan setiap taubat diterimaNya. Jangan lepaskan saat sungguh indah ini wahai orang yang mengejar reda Allah!

Isiqamahlah dalam mengamalkan mathurat, wirid Rasulullah SAW yang terkenal kesahihannya dan sentiasa menjadi amalan Nabi SAW sehingga wafatnya.

Berpuasa sunat Isnin dan Khamis itu umpama perisai untuk jiwa kita daripada gasakan hawa nafsu sepanjang minggu tersebut. 

Rajin-rajinkan baca Al-Quran agar kalam Allah Yang Maha Suci ini menjadi hujah kepada kita di dunia, dalam kubur dan di hari Akhirat nanti.

Semoga kemenangan milik kita, orang Islam yang dimuliakan Tuhan Pencipta alam semesta. InsyaAllah.


Wallahu A'lam.

KULIAH TASAUF SIRI 51



Kitab Al-Hikmah. 

Baiknya fikiran seseorang itu dengan adanya kebersihan hati yang tidak mudah dipengaruhi oleh unsur-unsur negatif dalam hidupnya.
Jagalah kebersihan hatimu, nescaya Allah menjaga amalmu seluruhnya. Kerana hati itu raja seluruh anggota. Baik hati, maka baiklah tutur kata, adab, dan tingkah laku. Daya fikir pun mengarah kepada aktiviti-aktiviti yang positif sahaja justeru memaksimumkan kudrat dan upaya untuk menghasilkan kebaikan.

Wallahu A'lam.

KULIAH TASAUF SIRI 50

Kitab Al-Hikam.
Orang Islam hari ini lebih suka mengumpul dosa daripada meraih pahala. Lebih suka bersifat zalim daripada bersifat tawaduk.

Kesukaan yang 'terbalik' ini berlaku kira-kiranya hati (hanya Allah lebih tahu) sudah jauh dari mengingati-Nya. Suka yang terbalik kerana ruang masa banyak diisi mengingati selain Allah. Contohnya: banyak sangat berhibur, menonton siri korea, omputeh, anime dan siri-siri lain yang panjang berjela-jela, banyak ber'fesbuk' dan banyak berborak kosong.

Di mana zikir dan di mana fikir (akan keagungan Allah, kelestarian dakwah Nabi SAW, perihal umat Islam sedunia), wahai umat Muhammad SAW?

Oleh itu nasihat ini khusus kepada diri saya dan kawan-kawan untuk direnung-renung dan melakukan perubahan sikap.

Wallahu A'lam.

Jumaat, Januari 14

KULIAH TAUHID SIRI 58

Kitab Risalah Tauhid.
Akidah adalah penentu seseorang itu diterima agama dan Imannya oleh Allah. Dan juga segala amal ibadah yang dikerjakannya. Selagi Tauhidnya tidak lengkap dan tidak sempurna, selagi itulah Iman seseorang itu cacat dan amal ibadahnya menjadi abu yang berterbangan.

Jangan sekali-kali menerima ideologi dan fahaman sesat buatan manusia seperti komunisme(menolak kewujudan Tuhan), kapitalisme(bertuhankan keuntungan mengabaikan keadilan), hedosnime(bertuhankan hiburan), pluralisme(agama sesat selain Islam pun diiktiraf sebagai kebenaran), animisme(bertuhankan tuhan yang berbilang-bilang) dan sebagainya.

Yakinlah keEsaan Allah dengan sebenar-benar yakin. Keyakinan yang paling kuat atau disebut sebagai beriman. Mengimani Allah berakar umbi di lubuk hati terdalam. Tidaklah hairan sirah Rasulullah SAW memulakan seruan dakwahnya dengan mengajak masyarakat Jahiliah supaya beriman kepada Allah Yang Maha Esa. Sehingga 13 tahun lamanya! Oleh itu hal iman atau akidah ini tak boleh dipandang enteng oleh masyarakat Islam pada zaman ini. Kukuhkan iman dan dibenihi dengan amal-amal soleh. Semoga dapat mengutip buah-buahnya di Alam Akhirat kelak. Amiin.

Wallahu A'lam.

KULIAH TASAUF SIRI 49

Kitab Minhajul Abidin.
Apa yang dapat disaksikan pada hari ini, terlalu ramai orang Islam yang menolak atau menentang kebenaran-kebenaran dan melawan takdir Ilahi. Tidak takut dengan amaran-amaran dari Allah. Ada yang perasan ia lebih hebat daripada kekuasaan Allah. Kononnya ia boleh menentukan nasib hidupnya sendiri tanpa pertolongan Allah. Inilah sifat orang yang takabur, zalim, dan sombong.
Gara-gara kelebihan material dan fizikal yang ada pada diri, manusia lupa dari mana kurniaan tersebut datang. Dia mengira bahwa kekuasaan dan kekayaan itu berasal dari dirinya. Walhal manusia itu amat lemah, amat kerdil. Dijadikan daripada air mani yang hina. Kalah dengan tahi dan air kencing (hendak melepaskan hajat). Entah berapa kali manusia ditimpa musibah dan Allah menyelamatkannya tapi masih enggan tunduk kepada kebenaran Ilahi.



Wallahu A'lam.
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...