Isnin, November 8

KELAS FARDHU AIN SIRI 4

Jangan biarkan terus Hati ibarat daun keladi. Nanti akibatnya jasmani akan menanggung derita dan seksa.
[Al-Hikmah]
 
Bagaimana hati boleh jadi daun keladi? Daun yang tak menerima apa-apa kesan daripada air yang menimpanya? Hal ini terjadi apabila hati sudah lama tidak 'disajikan' hidangan-hidangan rohani. Sudah jarang mendengar hal-hal berkaitan Allah. Kepemurahan-Nya, kebijaksanaan-Nya, ketelitian-Nya, kasih sayang-Nya, kesantunan-Nya dan sebagainya.

Hati jarang mendengar berkaitan peristiwa-peristiwa Hari Akhirat: kedahsyatan Padang Mahsyar, neraca timbangan amal Al-Mizan yang sungguh tepat dan menakjubkan, titian As-Sirat yang sangat-sangat halus dan tajam,  Syurga yang sangat menggembirakan hati kerana keindahan dan kenikmatannya, dan Neraka yang sangat kejam lagi penuh derita kerana seksaan-seksaannya yang berulang-ulang dan sentiasa pedih!

Hati jarang benar menyelami kisah kekasih Allah subhanawataala, Nabi Muhammad s.a.w. yang amat kasihkan kita semua, umatnya! Bagaimana pengorbanannya demi menyampaikan risalah dakwah Islam kepada umat manusia. Betapa diri suci baginda dihenyak dengan lemparan tahi, pukulan tangan-tangan zalim dan dicederakan dengan balingan batu-batu kanak-kanak di Taif. Namun Nabi tenang dan bersabar. Malah Nabi s.a.w. mendoakan semoga suatu hari nanti darah keturunan penduduk Taif ini mendapat hidayah Islam daripada Allah. Selain itu, bagaimana keindahan akhlak Nabi s.a.w. dalam bergaul sesama keluarganya, kaum kerabatnya, para sahabatnya, orang-orang miskin, anak-anak yatim, malah sesiapa sahaja tanpa mengira darjat, pangkat dan harta.

Mungkin hati jarang diingatkan tentang dosa dan pahala. Tentang kelebihan dan kemuliaan yang diganjarkan kepada orang yang beramal dan kerugian, penyesalan, kehinaan yang bakal dirasai oleh ahli maksiat.

Saudara-saudara yang saya kasihi, berhati-hatilah supaya hati tidak berubah menjadi seperti daun keladi. Kerana ketika itu, hati pun sudah mati. Terputuslah suluhan hidayah Allah untuk mengetuk pintu hati walaupun secebis nur hikmah.

Wallahu A'lam.

2 ulasan:

  1. Salam Ibnu,

    Semoga kita tidak macam daun keladi itu. Tapi yang sedih bila ada tazkirah selepas solat di rumah Allah nyatanya ramai kaum Adam berbanding kaum Hawa.

    Apa agaknya cara mengajak teman supaya tidak dianggap riak? Takut juga kan....

    BalasPadam
  2. Waalaikumusalam kak.

    Saya cuba menjawab persoalan kak. Mari meneliti ayat aali imran ayat 159:

    "Maka dengan sebab rahmat (yang melimpah-limpah) dari Allah (kepadamu wahai Muhammad), engkau telah bersikap lemah-lembut kepada mereka (sahabat-sahabat dan pengikutmu), dan kalaulah engkau bersikap kasar lagi keras hati, tentulah mereka lari dari kelilingmu..."

    Menandakan, cara mengajak mesti dengan lembut bukan memaksa atau keras. Secara langsung terhindar rasa riak sebab kita ajak dengan rasa kasih kita padanya.

    Tentang dianggap riak atau memikirkan apa orang kata, itu bukan tumpuan kita. Mari tumpukan apa Allah kata. Dia redha. Itu dah cukup.

    Dalam masa yang sama, sentiasa check balik niat kali dalam berdakwah. Sentiasa luruskan niat kerana-Nya.

    BalasPadam

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...