Sabtu, November 6

KULIAH TAUHID SIRI 15

Seutama-utama syukur ialah membesarkan perintah-perintah suruh dan menjauhi larangan-larangan dari Allah.
[Al-Iman]

"Alangkah nikmatnya hidup! Alhamdulillah...", semulia-mulia lafaz kesyukuran kepada Ilahi. Bila dikenang-kenang kembali, betapa banyak limpah kurniaan Allah subhana wa taala kepada diri kita.



Lihatlah nikmat kejadian diri kita yang sempurna fizikalnya. DIA mengurniakan dua biji mata kepada kita yang dapat melihat. Cuma bayangkan kalau Allah tarik balik nikmat ini. Jadilah kita buta tidak dapat melihat. Tak tahu apakah itu cantik, apakah itu hodoh. Apakah itu warna. Bagaimanakah bentuk bulat atau petak bersegi-segi. Tak tahu rupanya bulan, bintang dan matahari yang Allah dah ciptakan begitu indah berseri-seri sekali.

Pernahkah kita terasa begitu nikmat bila dapat melihat ciptaan-ciptaannya yang indah-indah? Seperti pokok-pokok yang tumbuh menghijau? Atau sungai-sungai yang mengalir lembut ? Atau nikmat pemandangan pelangi yang berwarna-warni di dada langit? Atau masih mampu menatap wajah ibu bapa kita yang tercinta? Bukankah ini semua menuntut syukur dari kita?

Allah berfirman yang bermaksud:
''Dan kalau mahu menghitung nikmat Allah, nescaya tidaklah kamu menghitung (seluruhnya) dan sesungguhnya Allah Maha Pengampun lagi Maha Penyayang'' (surah al-Nahl:18)

Setakat memikirkan nikmat penglihatan sahaja sudah begitu berat untuk dihitung (dan tak mampu dihitung). Belum mengenangkan nikmat intelek, nikmat Islam, nikmat keafiatan, nikmat persaudaraan, nikmat keamanan, dan banyak lagi!!

Oleh itu, sangat wajar bagi kita mensyukuri segala anugerah-anugerah Allah ini. Tak cukup dengan ucapan tahmid (Alhamdulillah). Tapi cara bersyukur yang paling baik adalah dengan menjadi hambanya yang taat. Membuat apa yang disuruh agama, meninggal segala apa yang dilarang. Kerana itulah sebaik-baik cara seorang hamba bersyukur.


Wallahu A'lam.

2 ulasan:

  1. Salam Ibnu Samaon,

    Biarlah diulang-ulang akan nikmat Allah ini kerana sebagai manusia kita sering alpa akan nikmat ini. Yang kufur nikmat lagilah ramai.
    Sentiasa bersyukur akan nikmat yang Allah berikan.

    BalasPadam
  2. Waalaikumusalam kak.

    Syukran atas nasihat yang diberi. Ungkit-ungkit yang sepatutnya dilakukan adalah mengungkit nikmat Allah kepada diri kita.

    BalasPadam

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...