Rabu, September 8

KULIAH FEKAH SIRI 6

Untuk mendapat khusyuk dalam solat sekurang2nya 20 minit sudah berada di tempat solat. Kosongkan hati dari masalah2 dunia.

[Al-Ibadah]
Alhamdulillah dengan izin Allah saya dapat menulis lagi untuk malam terakhir Ramadhan ini. Kali ini berkenaan solat yang khusyuk. Tentu saudara sekalian sangat menginginkan hal ini. Masakan tidak, melalui solat, roh kita berhubung terus dengan Allah tanpa perantaraan. Seolah-olah kita benar-benar berdialog dengan Tuhan semesta alam. Dan pastinya kita tidak mahu ada gangguan dalam dialog antara diri dengan Tuhan kita atau dalam bahasa mudah, ingin khusyuk semasa solat.

Menghadap Pencipta kita dalam kerendahan jiwa dan raga sebagai makhluk ciptaan-Nya yang sangat kerdil, bukanlah semudah seperti yang diucapkan. Solat yang berkualiti sebegini memerlukan konsentrasi melebihi apa-apa penugasan duniawi yang kita pernah lalui. Bayangkan kita ditugaskan untuk mewawancara Perdana Menteri, tentu tak keruan kita untuk mengatur tutur kata atau skrip yang bersesuaian dengan peringkat seorang pemimpin nombor satu negara. Bagaimana pula tutur kata atau adab kita dengan Tuhan Pemilik seluruh alam ini? Adakah dengan sekadarnya sahaja?



Bagi menafikan persoalan di atas, kita memerlukan suatu anjakan paradigma dalam menuju solat yang khusyuk. Solat bukanlah koleksi perbuatan yang dilaksanakan semata-mata kerana menurut RUTIN harian kita. Solat bukan sesuatu yang rutin dan bukan pula suatu ADAT kebiasaan masyarakat. Hakikatnya solat adalah doa. Doa pula adalah permintaan seorang HAMBA kepada TUHANnya. Jika kita memandang solat dalam bentuk begini, pasti solat yang kita lakukan adalah dalam keadaan yang sangat serius dan penuh konsentrasi. Kita tak akan main-main ketika solat kerana kita tahu kita sedang meminta petunjuk, keberkatan dan rahmat atau kasih sayang Allah ke atas kita. Kita mahu hidup kita terarah kepada kebaikan, bukan kesesatan. Dosa-dosa yang terpalit dihati disucikanNya. Rezeki kita dimurahkanNya. Kerumitan hidup dipermudahkanNya. Dan segala macam kebaikan dikurniakanNya.

Untuk itu, apalah kiranya secebis masa daripada masa-masa Allah kita manfaatkan untuk tujuan mengosongkan hati daripada hal ehwal dunia. Lupakan sementara 'cerita' rumah tangga. Cerita di tempat kerja. Cerita kawan-kawan. Cerita siaran televisyen dan sebagainya. Tumpukan hati kita dengan Allah semata-mata. Tingkatkan zikir kita dengan selama 20 minit sekurang-kurangnya di tempat solat atau seafdhalnya di Masjid. Mudah-mudahan, hati kita menjadi tenang dan lapang untuk menunaikan solat dengan khusyuk.

(p/s Jika tak mampu untuk tunggu 20 minit, duduklah dalam 5 ke 10 minit untuk membawa hati 'hanyut' seketika dalam zikir kepada Allah Taala)

Wallahu A'lam.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...