Rabu, September 8

KULIAH TASAUF SIRI 12

Sifat orang mukmin menjaga dan menepati janji2nya. Sifat orang munafik mengkhianati janji dan membatalkan janji.
[Dosa-dosa Besar]

Hari ini saya ingin berbicara mengenai janji. Janji cukup sinonim dengan kehidupan seorang manusia yang berakal sempurna. Menabur janji satu hal, menepati janji satu hal. Dan setiap peringkat usia ada janji-janjinya. Apakah yang saya maksudkan ini?

1. Sejak usia masih belum tercatat lagi semasa di alam Roh: Janji kepada Allah dan RasulNya. Seluruh umat Manusia telah berjanji dengan Tuhannya sebelum wujud di alam dunia lagi. Manusia telah mengikat janji dengan Allah Taala untuk menyembah-Nya semata-mata. Bukan kepada Jesus, bukan kepada haiwan, matahari, api, patung dan selain-Nya. Hal ini terbukti di dalam Al-Quranul Karim yang bermaksud:




 “Dan ingatlah ,ketika Tuhanmu mengeluarkan keturunan anak adam dari sulbi mereka dan Allah mengambil kesaksian terhadap jiwa(Roh) mereka (seraya berfirman): "Bukankah Aku ini Tuhanmu?" Mereka menjawab: "Betul (Engkau Tuhan kami), kami menjadi saksi." (Kami lakukan yang demikian itu) agar di hari kiamat kamu tidak mengatakan: "Sesungguhnya kami (bani Adam) adalah orang-orang yang lengah terhadap ini (keesaan Tuhan)", surah Al A’raf ayat 172.

Dahsyat bukan? Maka mana mungkin seorang manusia boleh mengabaikan janji kepada Tuhannya sendiri? Sesuatu yang menyalahi akal yang sihat jika manusia sanggup memungkiri janji ini dan mengambil selain Allah sebagai Tuhan.

2.  Usia remaja atau setelah mencapai akil baligh. Sebaik kita dilahirkan sampai usia sebelum baligh, kita belum ditaklifkan lagi (diminta pertanggungjawaban mengenai dosa dan pahala). Maka tak kisah kita mungkir atau tepati janji kerana pada ketika itu tiada kesan pada penghisaban amalan kita. Namun harus diingat, jika ingin mendidik seorang insan mesti bermula pada usia ini kerana hati masih mudah untuk dibentuk. Bak kata pepatah: Melentur buluh biarlah dari rebungnya.

Namun setelah baligh, kita mesti berhati-hati. Pada peringkat remaja inilah ujian pertama selaku hamba Allah bermula. Jangan sesekali menabur janji jika kita belum pasti dapat menunaikannya. Saya ingin menfokuskan perbahasan janji kepada kawan-kawan kerana dalam konteks ini remaja lebih suka bergaul dengan mereka berbanding meluangkan masa bersama keluarga. Contohnya janji untuk bertemu pada sekian tempat dan pada sekian masa. Namun pada hari tersebut, dia sampai lewat masa yang dijanjikan. Ini bukan amalan seorang mukmin kerana setiap janji mesti dikotakan tidak kira kepada sesiapa saja. Tanpa memandang statusnya sama ada berasal dari keluarga kaya atau miskin, tampan atau tidak, Melayu atau tidak. Ketahuilah jika kita tidak mengotakan janji, maka kita memiliki cabang-cabang sifat seorang munafik. Iaitu memungkiri janji.


3. Dewasa dan tua. Usia kemuncak iaitu apabila sudah berumah tangga dan memiliki tahap pemikiran yang cukup matang. Ketika ini tanggungjawab mulai terasa beratnya dan pandangan hidup semakin jelas. Janganlah menyimpan ciri-ciri munafik di dalam diri. Hayati diri ini sebagai seorang yang beriman kepada Allah dan Hari Akhirat dimana setiap tindak-tanduk pasti menerima pembalasannya. Hati-hatilah ketika menabur janji kepada isteri dan anak-anak jika belum pasti dapat mengotakannya. Hati-hatilah membuat janji kepada anak-anak buah jika berkedudukan tinggi dalam masyarakat. Kerana tiap-tiap janji menuntut untuk dikotakan. Dan jika tidak dikotakan, maka tunggulah balasan Allah di padang Mahsyar kelak. Bunyinya keras bagi orang mukmin dan biasa-biasa saja bagi orang munafik.

Maka saudaraku sekalian, bab janji ini hal yang besar. Jika dikotakan maka bersyukurlah kepada Allah kerana kita terpilih dalam golongan orang mukmin. Namun jika khianat maka cepat-cepatlah bertaubat kerana ia bakal mengundang murka terhadap orang yang munafik.

Wallahu A'lam.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...