Rabu, Oktober 13

KULIAH TAUHID SIRI 12

Orang yang suka berbuat dosa dan maksiat akan menyebabkan jauh jarak dirinya dengan Allah. Dan hatinya akan hitam.
[Dosa dan Maksiat]

Bismillahi Ar-Rahmani Ar-Rahiim. Tauhid merupakan asas kepercayaan seseorang Muslim. Dengan Tauhid, dia akan percaya bahawa Tiada Tuhan yang layak disembah kecuali ALLAH. Tauhid bererti mengesakan Allah dari segi Zat(yakin Tuhan ada satu), Sifat(yakin semua sifat-sifat Tuhan itu perfect tiada celanya), dan Perbuatan-Nya(yakin tiada satu makhlukpun yang dapat menyamai perbuatan Tuhan). Tauhid juga bererti mempercayai hal-hal yang ghaib seperti dosa dan pahala sebagaimana yang telah diajarkan oleh Nabi-Nya, Baginda Muhammad s.a.w. kepada umat Islam.



Justeru, dosa dan pahala berhubungkait dengan sistem kepercayaan kita. Orang yang menolak Tauhid, mana mungkin bersetuju adanya balasan DOSA bagi orang yang melakukan maksiat. Pengertian maksiat yang sempurna ialah menderhakai Larangan-larangan Allah. Ia meliputi derhaka kepada ibu bapa, bergosip/ mengata orang, menyebarkan kebohongan, menyakiti orang lain, mendedah aurat dan lain-lain. Bukan setakat melakukan seks luar nikah saja.

Orang yang menolak Tauhid juga tidak yakin adanya ganjaran PAHALA daripada Allah Taala bagi orang yang melakukan ketaatan dan amal soleh. Bagi mereka, ganjaran hanya datang daripada manusia yang berupa majikan mereka, pelanggan mereka, dan siapa saja yang berurusan dengan mereka. Ganjaran pada hemat mereka berbentuk wang dan harta, serta apa-apa kenikmatan duniawi yang bersifat sementara. Walhal PAHALA itulah yang akan menyelamatkan mereka daripada seksaan dahsyat alam Kubur dan juga terselamat daripada huru-hara di Padang Mahsyar.

Oleh itu, kuliah Tauhid ini ditujukan khas buat orang Muslim yang menerima Tauhid. Bila kita sebut tentang dosa dan pahala, mereka faham. Mereka tahu betapa significantnya dosa dan pahala dalam kehidupan mereka. Seterusnya mereka akan berjuang seluruh kudrat mereka untuk memperoleh semaksimum PAHALA dan menjauhi segala DOSA. Kalau boleh mereka mahu zero dosa dalam catatan amal mereka. Dosa itu tiadalah manfaatnya bahkan kerugian semata-mata. Ada dosa bermakna ada balasan seksa buatnya. Mana mungkin orang muslim mengkehendaki hal sedemikian. Orang muslim sentiasa menginginkan keselamatan buat dirinya di dunia dan lebih-lebih lagi di Akhirat.

Impak dosa juga berlaku ketika di alam dunia lagi. Ia menambah jurang hubungan antara seorang manusia dengan Tuhannya. Ketahuilah wahai saudara-saudaraku, semakin banyak kita buat dosa, semakin bertambah lupa dan lalai kita kepada Allah kerana dosa itu merupakan titik hitam yang menghalang antara kita dan DIA.

Sejajar dengan nasihat Junjungan Nabi kita Muhammad s.a.w. yang bermaksud:
"Siapa yang melakukan satu dosa, maka akan tumbuh pada hatinya setitik hitam, sekiranya dia bertaubat akan terkikislah titik hitam itu daripada hatinya. Jika dia tidak bertaubat, maka titik hitam itu akan terus merebak hingga seluruh hatinya menjadi hitam." (Hadis riwayat Ibn Majah).
Hadis ini selari dengan firman Allah yang bermaksud :
"Sebenarnya ayat-ayat Kami tidak ada cacatnya, bahkan mata hati mereka telah diseliputi kekotoran dosa dengan sebab perbuatan kufur dan maksiat yang mereka kerjakan." (Surah al-Muthaffifiin, ayat 14).
Bila hati sudah menjadi hitam, ALLAH tidak lagi dia kenal. Yang dia kenal hanya hawa nafsunya sebagai Tuhannya. Diturutnya segala permintaan hawa nafsu yang sentiasa mengajak kepada keburukan dan maksiat yang tiada noktahnya. Dia ditipu oleh Syaitan dan hawa nafsu yang memperdayakannya sampai ajal maut tiba. Alangkah sedihnya kesudahan orang sebegini. Ditipu hidup-hidup sampai matinya.

Ya Allah, jauhkan diriku dan orang-orang Islam daripada terpedaya dengan kelakuan-kelakuan dosa yang membinasakan...
 
Wallahu A'lam.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...