Allah melaknat orang yang membuat kerosakan di bumi, orang yang sombong dan yang suka memutuskan silaturrahim.
[Penyakit Hati]
Saya berlindung dengan kasih sayang Allah daripada hal ini. Allah membenci mereka yang melakukan kerosakan di bumi dengan bermaksiat kepada-Nya, berbuat zalim kepada hamba-hambaNya, mencetus fitnah dikalangan manusia, memeras ugut dan menindas golongan yang lemah, memusnahkan alam flora dan fauna demi meraih kesenangan dan kemewahan duniawi dan pelbagai perbuatan dosa lain yang melampaui batas. Sehingga mengakibatkan kemudaratan kepada dirinya sendiri dan orang lain. Bahkan kepada haiwan dan tumbuhan-tumbuhan yang hidup di muka bumi Allah ini.Maka baginya laknat Allah. Laknat-Nya berupa KEMURKAAN Allah merupakan hal yang paling patut bagi kita meminta jauh darinya. Jika dibandingkan dengan apa-apa musibah yang pernah wujud di dunia ini.
Ketika di bangku sekolah dahulu, kita sangat takut dengan guru disiplin jika kita ada membuat suatu kesalahan. Takut-takut jika dihukum dengan rotannya yang panjang lagi berbisa apabila disebat dengan daya memukul yang dahsyat. Sebagai murid pun kita sudah faham jika membuat 'kerosakan' (dibaca melanggar peraturan) di sekolah, kita akan mendapat kemarahan para guru justeru menerima pembalasan yang setimpal. Tetapi setelah menginjak dewasa kita 'seakan-akan' terlupa bahawa setiap perbuatan yang 'merosakkan' (dibaca melanggar peraturan Ilahi) di dunia ini bakal membuatkan pelakunya dimurkai Allah dan mendapat azab seksa yang tiada terperi di NERAKA kelak?
Apakah apabila usia kita sudah semakin meningkat, kematangan kita semakin menurun? Kewarasan fikiran kita semakin kabur dek sering diselebungi kabus-kabus ego dan hawa nafsu? Justeru, semakin hilanglah pertimbangan antara dosa dan pahala serta lupa tanggungjawab diri ini sebagai HAMBA ALLAH subhanahu wa taala.
Kembalilah kepada peraturan-peraturan Allah sebagaimana diajar oleh NabiNya Muhammad s.a.w. Kembalikan aturan-aturan tersebut dalam gerak hidup kita yang telah lama menyimpang dari landasan agama. Sangat sedih apabila ada golongan dalam masyarakat Melayu kita lahir dengan Islam tetapi kehidupan mereka tidak mencerminkan Islam bahkan menjadi penentang agamanya sendiri! Dengan penuh semangat mereka melaung-laungkan semboyan hedonisme, sosialisme, nasionalisme, free thinker, sekularisme dan macam-macam isme ciptaan MUSUH-MUSUH ISLAM. Ayuh teman-teman! Mari kita dekati Al-Quran dengan membacanya. Bukan sekadar itu, kita fahami dengan belajar daripada guru dan amalkannya dalam kehidupan. Begitu juga dengan Sunnah. Kita wajib mempelajari kedua-dua peninggalan khazanah Rasulullah s.a.w. ini serta merealisasikannya dalam setiap gerak hidup kita. Sehingga nafas terakhir kita.
Wallahu A'lam.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan