Khamis, Disember 30

TANDA IMAN LEMAH


Bila anda berhadapan dengan sesuatu maksiat dan tidak mampu mencegah tetapi masih melihatnya juga, kemudian anda tertawa dengan maksiat tersebut, itulah tandanya Iman anda sudah rosak bukannya lemah.


Wallahu A'lam.

NASIHAT

Bila Allah sudah tidak pandang seseorang itu maka amal ibadahnya tidak dipandang Allah. 
Bila ibadah juga tidak dipandangNya maka tiada keberkatan dalam kehidupan, tidak ada redha dari Allah. 
Jauh sekali untuk mendapat rahmat dari Allah.


Wallahu A'lam.

Rabu, Disember 29

KULIAH TAUHID SIRI 48

Ramai hanya tahu menyebut Hidayah tapi berapa peringkat Hidayah ramai yang tidak tahu. Hidayah terbahagi kepada 4 tahap iaitu: 
1.Hidayah Al-Ilham.(Naluri) 
2.Hidayah Al-Hawas.(Pancaindera)
3.Hidayah Al-'Aql.(Akal)
4.Hidayah Ad-Din.(Agama)
[Hidayah Iman]

Hidayah tahap pertama ialah naluri ikhtiar hidup. Burung yang terbang mencari rezeki.. Lebah menghasilkan madu.. Labah-labah dengan sarangnya untuk menangkap mangsa.. Semuanya menerusi hidayah Allah ini.

Hidayah tahap kedua ialah nikmat pancaindera. ALLAH beri mata kepada makhluknya untuk melihat. Tidak teraba-raba untuk mengetahui benda di hadapan (peroleh hidayah/petunjuk daripada gelap kepada terang). ALLAH beri telinga untuk ia mendengar. Tidak tuli malah boleh 'menangkap' dan menilai informasi yang diucapkan oleh seseorang.

ALLAH beri kulit untuk menyentuh. Tahu mana panas mana sejuk. Mana tajam mana bundar. Mana bahaya mana selamat. Subhanallah... Seterusnya deria hidung untuk menghidu. Antaranya sebagai pembuka selera. Cuba bayangkan jika kita tak boleh membau? Tentu tak terjamah makanan. Atau makanan yang dijamah itu hanya sedikit saja kerana tak rasa apa-apa. Allahu Akbar. ALLAH telah menyediakan nikmat-nikmat yang begitu agung untuk kita supaya sentiasa selamat dan terurus dalam kehidupan. Betapa sayangnya Allah kepada kita. Alhamdulillah...

Hidayah tahap ketiga ialah akal. Agar dapat membezakan yang baik dari yang buruk. Dari yang lebih baik dari yang baik. Akal menilai amal mana yang terbaik dan hati yang berkuasa membuat pilihan.

Hidayah tahap keempat. Kuasa memilih terletak kepada si hati. Hati yang bersih akan cenderung kepada kesolehan. Hati yang kotor akan cenderung kepada kemaksiatan. Oleh itu, hidayah keempat memainkan peranan yang sangat penting atau vital dalam menentukan kondisi hati yang terbaik. Hidayah ini ialah Agama (petunjuk-petunjuk ALLAH yang disebut di dalam Al-Quran dan As-Sunnah). Kedua-dua petunjuk inilah yang berperanan membentuk hati menjadi 'hati yang sejahtera' yang mana akan menghadap ALLAH di Padang Mahsyar nanti. 

Wallahu A'lam.

KULIAH TAUHID SIRI 47

Jika diperhatikan dengan neraca Al-Quran dan Sunnah, akan didapati ramai orang-orang Islam hari ini telah mengabdikan diri kepada hawa nafsu. Menghambakan diri kepada manusia dan harta benda. Sehingga ada yang tinggal solat berjemaah dan kuliah-kuliah pengajian. [Fikrah Mukmin]
Inilah akibatnya apabila fahaman materialisme atau kebendaan meresap ke dalam jiwa. Hal-hal zahir SAHAJA diambil perhatian seperti memperoleh isteri cantik, harta kekayaan menimbun, kereta mewah, rumah besar, pangkat besar, dan sebagainya. 

Hal-hal batin atau yang tak tercapai oleh pancaindera seperti keredaan Allah, syafaat Rasulullah s.a.w., Syurga, Neraka, pahala, dosa, dan sebagainya tidak pula diambil endah. Kerana tak nampak manfaatnya atau tidak yakin dengannya. Maka persiapan ke alam kubur pun terabai. Oleh itu, bersedialah menghadapi kehidupan yang penuh lintang-pukang kelak!



Wallahu A'lam.

Isnin, Disember 27

KULIAH TASAUF SIRI 40

Orang-orang munafik akan duduk dalam Neraka yang paling bawah sekali. Iaitu orang yang mungkir janji, berbohong dan hati yang suka khianat. Lain di mulut lain di hati. [Al-Hikmah]


Wallahu A'lam.

KULIAH TASAUF SIRI 39

Orang yang paling hina dan keji yang hidup di dunia ini iaitu orang yang sombong dengan Allah dan RasulNya. Dan orang yang meringan-ringankan menuntut ilmu-ilmu Agama. [Minhajul Abidin]

Kebanyakan menyangka orang yang hina adalah orang yang miskin hartanya. Itu pandangan orang yang jahil tentang hakikat hidup. Kita hidup berTuhan. Diciptakan oleh Tuhan dan setiap detik memerlukan-Nya. Dan akhirnya dikembalikan kepada Tuhan.

Oleh itu, jangan ada sekelumit (sebesar zarahpun) rasa sombong kepada Tuhan yang Menjadikan kita ini.

Begitu juga jangan sesekali sombong dengan Rasul-Nya, Muhammad s.a.w. seperti menghina sunnahnya, memperlekeh keluarga dan sahabatnya, dan lain-lain perbuatan sombong yang tak layak baginya. Betapa tidak, Rasulullah itu manusia yang paling mulia di antara kita semua bahkan seluruh umat manusia.

Mana mungkin orang boleh berlaku sombong dan menghina semulia-mulia insan ini?

Pada hakikatnya, orang yang hina dan keji adalah orang yang sombong kepada ALLAH dan Rasul-Nya. Inilah pandangan yang benar dan tak dapat disangkal lagi.

Wallahu A'lam.

BAB BERKAWAN

Bila mempunyai kawan pastikan mereka tidak akan mengheret anda ke Neraka masa di Akhirat nanti. Kecuali jika anda mampu menarik mereka ke Syurga. Jangan pentingkan dunia dalam berkawan. Pastikan Akhirat diutamakan.

Wallahu A'lam.
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...