Jumaat, Julai 2

CAHAYA IMAN

Untuk mengetahui sama ada Tauhid seseorang itu jernih atau tidak, redha atau tidak apabila menerima sesuatu kebenaran. Atau dia menangkis dengan berbagai alasan kerana dunia.
 [Nur 'Ala Nur]

Inilah dia kayu ukur atau penanda aras tahap keimanan kita kepada Allah. Sewaktu menerima kebenaran. Tak kira apa jenis kebenaran. Mungkin kita ditegur bab bermuamalah seperti Forex atau Swiss Cash itu haram sebagaimana difatwakan oleh para ulama muktabar.


Jika ketika ditegur itu kita naik melenting, maka ketahuilah sesungguhnya Tauhid kita masih BELUM JERNIH. Masih goyah. Masih kabur. Kabur dek terpengaruh dengan fahaman-fahaman buatan akal dan hawa nafsu manusia. Pandangan yang berasaskan lojik akal dan materialistik.

Kita akan beralasan bahawa hukum agama memundurkan umat. Apakah alasan ini berasas? Demi Allah Yang nyawa-nyawa kita berada dalam genggaman-Nya, alasan ini palsu bahkan beralaskan lojik dunia yang bersifat fana, sementara, tak kekal, penuh penipuan.


DIA mengingatkan kita dalam surah Faatir ayat 5:

Wahai umat manusia, sesungguhnya janji Allah (membalas amal kamu) adalah benar; maka janganlah kamu diperdayakan oleh kemewahan hidup di dunia dan janganlah Syaitan yang menjadi sebesar-besar penipu itu berpeluang menyebabkan kamu terpedaya dengan (kemurahan) Allah (lalu kamu lalai dan menderhaka). 

Allah menempelak mereka yang menolak kebenaran malah mempersendakannya sebagaimana dalam surah Al-A'raf ayat 51)

(Tuhan berfirman: Orang-orang kafir itu ialah) orang-orang yang menjadikan perkara-perkara agama mereka sebagai hiburan yang melalaikan dan permainan dan orang-orang yang telah terpedaya dengan kehidupan dunia (segala kemewahannya dan kelazatannya). Oleh itu, pada hari ini (hari kiamat), Kami lupakan (tidak hiraukan) mereka sebagaimana mereka telah lupa (tidak hiraukan persiapan-persiapan untuk) menemui hari mereka ini dan juga kerana mereka selalu mengingkari ayat-ayat keterangan Kami.

Demikianlah Allah mengajar kita. Janganlah dek kesenangan dunia, kerana nak jaga kepentingan diri sendiri, kita tolak mentah-mentah suatu hukum/kebenaran. Tapi pandai pula mengambil hukum-Nya yang lain seperti mahu kahwin sampai empat(bab berpoligami), ketika dalam majlis jenazah pandai pula mematuhi setiap garisan Syariat... Mengapa tidak kita menerima Islam itu SEPENUHNYA? Itulah diri kita. Umat Islam akhir zaman yang masih teraba-raba dalam menerima kebenaran.

Wallahu A'lam.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...