Jumaat, Mei 27

KULIAH TAUHID SIRI 69

Syarah Kitab Ad-Durrunnafis.
Berhati-hatilah bila berkata-kata, ada masanya kata-kata itu menurun dan ada masanya kata-kata itu menaik. Turun dan naiknya bergantung pada keimanan.
Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh sahabat2 pengunjung yang diredai Allah. Semoga dalam keampunan dan rahmat-Nya selalu.

Setiap hari manusia pasti akan mengucapkan sesuatu sama ada perkara yang baik mahupun perkara yang buruk (bahkan orang bisu dengan bahasa isyaratnya). Ucapan atau kata-kata amat penting dalam kehidupan. Tanpa kata-kata, tidak akan terjalin hubungan sesama manusia. Kau-kau aku-aku. Diam seribu bahasa bila bertemu. Bukan begini kehendak Islam. Firman Allah Taala dalam surah Al-Hujurat ayat 13 yang membawa maksud:

Wahai umat manusia! Sesungguhnya Kami telah menciptakan kamu dari lelaki dan perempuan, dan Kami telah menjadikan kamu berbagai bangsa dan suku puak, supaya kamu saling berkenalan. Sesungguhnya semulia-mulia kamu di sisi Allah ialah orang yang paling takwa di antaramu. Sesungguhnya Allah Maha Mengetahui, lagi Maha Mendalam Pengetahuan-Nya”.


Dalam ayat di sana, jelas sekali bahawa Allah Taala mengajar kepada kita selaku hamba-hambaNya supaya menjalinkan hubungan sesama insan. Disebut 'saling berkenalan' di sini sudah tentu membawa maksud berkata-kata sesama kita.

Oleh itu, manusia tak dapat lari daripada mengeluarkan ucapan atau berkata-kata kepada orang lain. Setiap kata-kata pula sentiasa dihitung oleh Allah Subhanahu wataala. Tuhan Al-Hasib iaitu Yang Maha Menghitung. Bukan setakat satu huruf, bahkan lebih kecil daripada itu DIA akan menghitung amal perbuatan manusia. Untuk diberi balasan di hari Akhirat kelak. Adakah balasan kebaikan atau balasan keburukan yang bakal kita terima?

Kata-kata bukan perkara enteng untuk ditolak ketepi. Bahkan dengan kata-kata inilah yang berpotensi untuk 'mencampakkan' pengucapnya ke lembah Api yang Menyala-nyala. Ke lembah azab yang tiada terperi sakitnya. Lagi kekal buat orang2 kafir dan munafik. Nauzubillahi minzalik. Hadis Rasulullah SAW berkaitan hal ini:

Daripada Abu Hurairah: Seorang sahabat telah bertanya Rasulullah saw tentang apa yang boleh memasukkan manusia ke dalam syurga. Baginda menjawab ”Takwa kepada Allah dan akhlak yang baik”. Baginda ditanya tentang apa yang akan memasukkan manusia ke dalam neraka. Baginda menjawab "Mulut (lidah) dan faraj (alat kelamin)".                 (Fathu Bari. Jld 8:316)

Lantaran itu kawan2, marilah kita berhati-hati dengan setiap kata-kata kita. Hendaklah sentiasa berkata yang baik dan benar. Serta jauhilah daripada berkata-kata dusta, khianat dan maksiat. Kata-kata kita mestilah berdasarkan ajaran Ilahi sebagaimana termaktub dalam Al-Quran dan Sunnah Nabi SAW. Kata-kata yang baik membawa pengucapnya ke taman Syurga dengan izin dan rahmatNya insyaAllah. Dan sebaliknya kata-kata yang buruk membawa pengucapnya ke lembah penyesalan yang tak berpenghujung.


Bersama hindari dosa mengumpat, mengkeji, dan menipu.

Wallahu A'lam.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...