Ilmu adalah nur cahaya yang dipancarkan ke dalam hati. Maksiat dalam diri pula dapat memadamkan cahaya ilmu.
[Bahaya Maksiat]
Ilmu pelita hidup. Begitulah saban hari kita mendengarnya ketika belajar di sekolah dahulu. Memang ada benarnya. Mana tidaknya, dengan ilmu manusia dapat menyuluh penghidupannya ke jalan yang benar dan lurus. Dari ilmu datangnya iman. Sebagaimana Allah Taala memperkenalkan Al-Quran kepada Rasulullah s.a.w. dengan turunnya ayat-Nya yang menyuruh manusia "IQRA!" yakni bacalah.
Sejak penurunan wahyu tersebut di Gua Hirak, maka Rasulullah s.a.w. telah menemui cahaya keimanannya yang pertama seterusnya memikul tanggungjawab sebagai pesuruh Allah yang agung dimuka bumi ini. Menyeru manusia ke jalan kebenaran. Oleh itu sangat penting bagi manusia untuk menuntut ilmu bagi memperoleh nur cahaya daripada Allah yang dapat membimbing hidup ke arah kesejahteraan di dunia dan akhirat.
Manusia yang hidupnya terbimbing dengan nur Allah, tak mudah merasa gelisah apabila menghadapi kesusahan, kemelaratan dan sebagainya. Beliau menempuhi hidup dengan tenang dan berani menyahut cabaran kerana beliau percaya Allah sentiasa bersama-samanya pada setiap masa.
Hati yang diterangi nur adalah satu keberuntungan yang amat besar. Namun, hati yang gelap kerana terpadamnya nur cahaya tersebut adalah satu kerugian yang nyata. Sedih sekali jika sudah tersuluh hati kita dengan cahaya tiba-tiba terpadam dek perbuatan dosa yang kita lakukan.
Maksiat. Biasa mendengarnya tapi sejauhmana pemahaman kita terhadap istilah ini? Lazimnya orang akan terfikir seseorang itu membuat maksiat apabila dia mengadakan hubungan seks luar nikah(zina). Bahkan, maksiat itu merangkumi setiap perbuatan DERHAKA kita kepada Allah. Termasuk mencuri barang biarpun kecil, berbohong, memungkiri janji, pecah amanah, berjudi, arak dan macam-macam lagi.
Kesan maksiat itu memadamkan cahaya di hati. Kerana sabda Rasulullah s.a.w. yang bermaksud:
"Sesiapa yang melakukan suatu dosa, maka akan tumbuh di hatinya setitik hitam. Kiranya ia bertaubat akan terkikislah titik hitam itu dari muka hatinya. Jika ia tidak bertaubat, mak titik hitam itu akan terus merebak, sehingga muka hatinya menjadi hitam." [Hadis Riwayat Tirmizi]
Selaras dengan firman Allah Taala yang bermaksud:
"Sekali-kali bukan demikian (seperti apa yang dikatakan oleh orang2 kafir) sebenarnya apa yang selalu mereka lakukan itu (daripada perbuatan dosa) telah menutup hati mereka"(83:14)
Oleh itu kawan-kawanku, jangan sia-siakan amalan hidup kita dengan berbuat maksiat kepada Allah. Tapi carilah cahaya Allah melalui pencarian ilmu berbekalkan hati yang lurus dan suci, ikhlas hanya kepada-Nya. Demi memperoleh Reda Allah pada diri kita...
Wallahu A'lam.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan