Selasa, Disember 7

KULIAH TAUHID SIRI 16

Mukmin, kafir dan sifat munafik. Antara tiga sifat ini yang mana lebih terdorong di dalam hidup setiap hari? [Iman dan Kufur]

Bismillahi Rahmani Rahim.

Seorang yang memiliki sifat mukmin adalah orang yang sangat-sangat beruntung. Dia berjaya membedakan antara yang benar dan yang batil kerana mengikuti hidayah Allah. Orang mukmin tidak banyak soal. Apabila mengetahui sesuatu hukum, dia menerimanya biarpun perkara itu berat baginya. Misalnya, hukum menahan pandangan mata sebagaimana firman Allah dalam surah An-Nur yang bermaksud:

(29) Katakanlah (wahai Muhammad) kepada orang-orang lelaki yang beriman supaya mereka menahan pandangan mereka (daripada memandang yang haram) dan memelihara kehormatan mereka. Yang demikian itu lebih suci bagi mereka; sesungguhnya Allah Amat Mendalam PengetahuanNya tentang apa yang mereka kerjakan. (30) Dan katakanlah kepada perempuan-perempuan yang beriman supaya menahan pandangan mereka (daripada memandang yang haram)...

Baik laki-laki mahupun perempuan, orang mukmin tertakluk kepada hukum ini. Menahan pandangan itu bukanlah bererti memejamkan mata sehingga tak nampak apa-apa di hadapan atau menundukkan kepala ke tanah saja. Tetapi pengertian yang benar adalah mengelakkan pandangan daripada memandang yang haram. Mata bebas memandang. TETAPI, apabila terpandang sesuatu yang haram, teruslah berpaling. Jangan dilihat lagi. Sedarilah bahawa Allah Maha Memandang tingkah-laku kita.

Memang saya akui untuk menjadi seorang mukmin yang sejati sangatlah berat. Ia memerlukan mujahadah (perjuangan melawan hawa nafsu) yang amat tinggi. Melihat sesuatu yang mengundang syahwat itu merupakan suatu godaan. Namun, jika iman lebih kita pertahankan berbanding kepuasan nafsu syahwat, pengorbanan mesti dibuat. Mujahadah mesti dilakukan. Itulah yang saya maksudkan dengan 'menerima hukum walaupun berat'.

Kafir dan Munafik


Orang yang memilih untuk kafir adalah orang yang tersangat rugi. Begitu juga orang yang memilih untuk menjadi sang munafik. Dia umpama membeli sebuah kerugian dengan menjual segala keuntungan yang dia miliki. Sebagai contoh, Mat meminati satu pensel ini lalu dia membelinya dengan menggadaikan kedai pensil miliknya. Nampak tak kebodohan sikap ini? Hanya orang berakal yang sihat dapat mengatakan "tidak" kepada kekafiran dan beristiqamah dalam menjaga iman di dada dengan penuh komitmen kerana amat-amat menghargainya.

Sifat mukmin akan menuntun pemiliknya ke jalan keselamatan dan penuh kenikmatan di Negeri Akhirat sana. Manakala sifat kafir dan munafik hanya akan mengundang azab seksa yang tidak terperi sakitnya. Bukan sekadar itu, balasan buat pemilik sifat-sifat ini adalah berterusan, berulang-ulang sehingga terpacul kata-kata sesalan daripada yang diseksa. Apakah setelah menerima azab yang berat ini baru manusia ingin menjauhi sifat kafir dan munafik?

Wallahu A'lam.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...