Isnin, Disember 6

SALAM NEW YEAR 1432 HIJRAH!

Bismillahi Rahmani Rahim.

Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh duhai pengunjung yang dikasihi Allah. Sekali lagi kita bersua di medan elektronik yang tidak mengenal batas sempadan ini, demi menyahut seruan Allah supaya berkenal-kenalan antara satu sama lain.

Alhamdulillah. Allah masih memperkenankan kepada kita untuk terus 'melihat' Tahun Baru ini. Entah berapa ramai manusia yang telah 'tertutup terus matanya'. Apa yang disisi mereka hanyalah kegelapan, kesunyian, kesempitan yang sangat tak menyelesakan, dan menjadi hidangan ulat dan cacing tanah. Tapi Allah masih memanjangkan umur kita sehingga ke saat ini. Kenapa?



Mungkin untuk menambahkan lagi 'erti keseronokan sementara' ke dalam kamus hidup kita? Atau untuk menambahkan 'erti kehambaan' ke dalam jiwa raga kita? Percayalah sahabat-sahabatku. Allah tidak menjadikan sesuatu perkara itu sia-sia. Terpulang kepada kita sama ada mahu melihat hikmah usia ini dengan kaca mata hati. Atau sekadar membiarkan usia berlalu begitu sahaja disoroti pandangan nafsu yang dingin.

Umur yang masih disisakan kepada kita sebenarnya amanah daripada Allah. Amanah buat manusia iaitu menghambakan diri kepada Allah. Berusahalah meraih keredaan Allah menerusi amal-amal soleh yang berterusan walaupun kecil. Berusahalah mensucikan hati daripada kekotoran dengki, tamak, sangka buruk, ego, dan macam-macam lagi 'najis-najis' yang sebenarnya amat menjijikkan tapi berapa ramai orang yang selesa dengan kekotoran sebegini melekat di hati mereka. Aduhai... Hal ini pun terkena di batang hidung sendiri... Tapi tentu anda sekalian pernah dengar Hadis berikut:


Dari Anas RA meriwayatkan bahawa nabi SAW bersabda;
Setiap orang melakukan dosa,
Dan sebaik-baik orang yang melakukan dosa itu ia bertaubat.
Hadis Riwayat Tirmizi.


Oleh itu, marilah kita berhijrah... Perkukuhkan keazaman hati kita supaya istiqamah di jalan-Nya. Cepat-cepat bertaubat setelah berbuat dosa jangan tangguhkannya. Kerana barangsiapa yang menangguhkan, orang tersebut sedang berada dalam jerat Syaitan Laknatullah. Si terkutuk itu sentiasa berusaha (tanpa ada off day) untuk memperdayakan umat manusia (tanpa terkecuali) sampailah ia berjaya membuatkan kita terhumban masuk ke dalam Api Neraka. Dan menjadi penemannya di sana! Nauzubillahi minzalik...

Sempena kehadiran Tahun yang Baru ini, iaitu 1432 Hijrah, marilah kita bersama-sama berhijrah mengubah diri menjadi lebih baik... Dengan berusaha untuk meningkatkan ketaatan kita kepada Allah. Dengan berusaha meningkatkan ilmu pengetahuan yang bermanfaat. Mencari peluang-peluang bagi meningkatkan iman dan amal. Meningkatkan kewaspadaan diri daripada terjerumus ke dalam jerat Syaitan. InsyaAllah. Pertambahan usia kita sehingga ke tahun ini tidak akan sia-sia jika Iman dan Islam kita hargai dan pelihara sebaiknya. Semoga kita menjadi hamba Allah yang bersyukur kepada-Nya pada setiap pergerakan saat. Dan mudah-mudahan mati kita kelak dalam keadaan yang diredai Allah.

Wallahu A'lam.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...