Bila hawa nafsu dijadikan tuhan maka dosa maksiat dianggap baik dan amalan soleh dianggap hina.
[RISALAH TAUHID]
(Surah Al-Jaashiah – ayat 23)
Manusia dijadikan Allah Taala bersama-sama hawa nafsu. Tanpanya manusia tidak akan mengenal erti kemajuan. Berusaha untuk mengadakan perbaikan amal, penambahbaikan mutu kehidupan dan sebagainya. Pendek kata, hawa nafsu merupakan juzuk yang penting bagi perkembangan hidup manusia jika ia dikendalikan dengan betul mengikut syariat Islam.
Disisi lain, hawa nafsu juga membawa manusia terjerumus ke dalam lembah maksiat yang tak berpenghujung. Hal ini berlaku kepada manusia yang bertuhankan hawa nafsu. Firman Allah Taala:
“Tidakkah engkau perhatikan orang-orang yang mengambil hawa nafsunya menjadi Tuhan dan dia disesatkan Allah kerana Allah mengetahui (kejahatan hatinya) lalu di tutup Allah pendengarannya (telinga batin), mata basirnya dan tetap tertutup.”
Akal tidak lagi dapat berfungsi dengan baik dek nafsu menguasai jiwa. Apa yang benar akal menerimanya sebagai batil. Manakala apa yang batil dikiranya sebagai sesuatu yang benar. Songsang pula jadinya. Allah mengingatkan hamba-hambaNya:
Katakanlah: Wahai Ahli Kitab! Janganlah kamu melampau dalam agama kamu secara yang tidak benar dan janganlah kamu menurut hawa nafsu suatu kaum yang telah sesat sebelum ini dan telah menyesatkan banyak manusia dan juga (sekarang) mereka telah tersesat (jauh) dari jalan yang betul.
(Al-Maaidah:77)
Semuanya didasari atas kenikmatan segera atau instant pleasure tanpa mengira keredaan Tuhannya yang Maha Pencipta lagi Maha Menguasai alam ini. Dan memang hakikatnya hawa nafsu itu selalu mengajak diri manusia kepada kemaksiatan;
Sesungguhnya Nafsu Amarah itu sentiasa menyuruh berbuat jahat. (Surah Yusof – ayat 53)
Sehingga ada yang sanggup berbunuhan kerana bertuhankan nafsu;
Maka nafsu jahat (Qabil) mendorongnya (sehingga dia tergamak) membunuh saudaranya, lalu dia membunuhnya. Oleh itu menjadilah dia dari golongan orang-orang yang rugi.
(Al-Maaidah:5)
Oleh itu, setiap orang beriman wajib meneguhkan akidahnya supaya dapat menangkis godaan-godaan nafsu yang berupa:
a) menikmati kecantikan wanita (bukan mahram)
b) keseronokan hiburan yang melalaikan
c) menzalimi atau mengambil hak orang lain demi kepentingan diri sendiri
d) berlaku sombong terhadap orang lain atas alasan tak sama taraf dengannya
e) berbagai-bagai hal negatif lagi dicemuh agama Islam
Akidah dapat diteguhkan dengan cara mendalami ilmu tauhid di kuliah-kuliah agama mahupun melalui bacaan kitab yang berkualiti. Juga menerusi perbincangan atau soal jawab dengan orang-orang yang ahli seperti para ulama, ustaz, dan orang-orang soleh yang rajin menghadiri majlis ilmu.
Semoga diri kita tidak bertuhankan kepada hawa nafsu yang sentiasa ingin merendahkan martabat manusia ke taraf kebinatangan. Sebaliknya marilah bertuhankan kepada Allah Tuhan Pemilik seluruh alam semesta ini. Dengan mendekatkan diri kepada Allah, martabat manusia akan sentiasa dimuliakan para penghuni di bumi malah di langit insyaAllah.
Wallahu A'lam.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan