Rabu, November 17

KELAS FARDHU AIN SIRI 5

Jika mengorbankan masa dan tenaga untuk DUNIA, pada zahirnya memang menguntungkan tapi hakikatnya adalah rugi dalam pandangan Islam.
[Al-Ibadah]

Bismillah Ar-Rahman Ar-Rahim.

Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh wahai sahabat-sahabatku yang dikasihi Allah.

Setiap insan yang dilahirkan di bumi ini pasti memiliki hala tuju dalam hidup. Sama ada hala tuju itu akan menghantarkan dia ke jalan kebahagiaan. Atau akan menghantarkan dia ke jalan kebinasaan. Tiada pilihan ketiga. Oleh itu, perkara paling mustahak untuk difikirkan ialah apakah hala tuju hidupnya?

  1. DUNIA dan segala kenikmatannya yang bersifat SEMENTARA.
  2. AKHIRAT dan kebahagiaannya yang KEKAL ABADI.
Tepuk dada tanya iman. Hanya yang bijak akan mengambil sesuatu yang berpanjangan manfaatnya biarpun dia terpaksa menempuh jalan yang sukar buat seketika.

Kembali kepada tajuk utama. Sejauh manakah umat Islam berusaha mengejar keuntungan hidup di negeri akhirat jika dibandingkan dengan jerih lelah mereka untuk mengaut keuntungan hidup di dunia ini? Sudah tentu tak menyamai dengan usaha melambung mencari DUNIA.

Kebanyakan umat hari ini, siang dan malam mereka asyik memikirkan bagaimana hendak membeli kereta baru, upgrade aksesori-aksesori kereta, mendapatkan telefon bimbit model terbaru, laptop baru, pakaian baru, beg baru, dan apa-apa sahaja yang menarik di hati. Mereka selalu meluangkan masa pergi mencari lubuk baru untuk memancing ikan-ikan besar atau yang jarang dijumpai. Atau sibuk mencari wanita-wanita cantik dalam tagged, friendster atau facebook untuk dijadikan pacaran. Di manakah nilai Iman dalam jiwa remaja kita sekarang?

Cuba bandingkan dengan usaha-usaha mengaut keuntungan hidup di akhirat pula.

  • Pernahkah mereka merancang amal soleh apakah yang akan dilakukannya hari ini demi memperoleh cinta Allah dan Rasulullah s.a.w.? 
  • Pernahkah mereka berazam untuk melaksanakan solat malam setiap hari?
  • Pernahkah mereka menanam niat untuk tidak menipu dan menyakiti saudara muslim yang lain? 
  • Pernahkah mereka memerhatikan keperluan jiran tetangga mereka?
  • Pernahkah terdetik di hati mereka untuk mengajak kawan mereka yang non-muslim kepada agama Islam?
  • Pernahkah mereka berusaha mendalami dan memahami setiap ilmu Al-Quran dan Al-Hadis? 
  • Ada tak usaha untuk menguasai bahasa Syurga, bahasa para malaikat, dan juga bahasa Allah kepada manusia iaitu bahasa Arab? 
  • Adakah mereka bercita-cita untuk mengorbankan masa, tenaga bahkan nyawa demi menegakkan agama Islam? 
  • Sanggupkah mereka mengangkat senjata, berjihad dan berperang dengan musuh-musuh Allah seperti kerajaan Israel dan Amerika yang saban hari membantai SAUDARA seagama kita di Palestin, Afghanistan dan Iraq? 

Sikap-sikap yang dinyatakan ini tak lain berpunca daripada hati yang dipenuhi iman. Ya, IMAN!
Hati yang kering dan kosong daripada nur iman, mana mungkin dapat berbuat segala amal soleh berikut? Ayuh! Buang segala kecintaan buta kepada dunia. Alihkan kecintaan anda kepada keindahan Syurga di Akhirat sana. Dan yang paling utama adalah mendapat keredhaan Tuhanmu yang Maha Esa.

Janganlah kalian menjadi seperti anjing dengan bayang-bayangnya. Tamak dengan dunia yang sekejap lagi akan lenyap bila ajalmu datang menjemput atau dunia itu sendiri luput dihadapan matamu. Yang dikejar tak dapat, yang dikendong keciciran.


Wallahu A'lam.

2 ulasan:

  1. Salam Ibnu Samaon,

    Singgah selepas cuti Raya.

    Kakak sentiasa mohon mahu menjadi yang terbaik walau ada kalanya tergelincir seketika tanpa sedar. Untuk menjadi terbaik walau sedikit pengorbanan diberikan. Banyak nikmat yang telah diberi olehNya. Masih terus belajar dan semakin terasa diri kian kerdil.

    Selamat Hari Raya Aidil-Adha.

    BalasPadam
  2. Waalaikumusalam.

    Alhamdulillah. Semoga Allah sentiasa memberikan yang terbaik buat kak sekuarga.. InsyaALlah.

    BalasPadam

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...