Khamis, November 4

KULIAH TASAUF SIRI 14

Bila diri sudah terumbang-ambing dengan arus keduniaan maka lebih banyak menyesatkan kehidupan dari memberikan rasa keinsafan.
[Jalan ke Hati] 
Terus terang saya katakan, manusia paling sempurna hidupnya adalah dia yang berkiblatkan agama Islam sebagai panduan hidup. Ini kerana Islam membawa satu set cara hidup yang terbaik untuk para penganutnya. Amatlah malang jika kita gagal memahami kelebihan agama ini dan tidak mempraktikkannya ke dalam sepanjang 'aturcara' hidup kita. Lebih-lebih lagi jika terpengaruh dengan arus keduniaan yang sia-sia dan penuh keburukan.



Oleh itu, marilah kita 'selami ke dalam lautan' agama Islam yang penuh hikmah demi mencari mutiara-mutiara yang tak ternilai.

Islam mengajar kita membaca. "Iqra", perintah Allah di dalam al-Quran .Bukankah ini suatu yang terbaik buat diri kita? Menimba ilmu melalui proses membaca akan menjadikan manusia berada jauh ke hadapan berbanding mereka yang malas membaca. Tengok sahaja seorang lelaki yang suka membaca buku-buku ilmiah. Bagaimanakah potensinya pada masa hadapan? Tentu cerah jika nak banding dengan lelaki yang suka mengadap 'muka-buku' berjam-jam. Lebih banyak lagha(sia-sia) daripada ilmu yang diperoleh.

Islam mengajar kita menghargai masa. "Wal-Asr", Demi masa Tuhan bersumpah. Alangkah hebatnya Islam apabila 'masa' pun mendapat perhatian yang serius daripada Tuhan seluruh alam. Jika Allah sudah memandang serius kepada masa, mengapa tidak kita? Sebagai hamba-Nya yang sangat lemah dan sentiasa memerlukan rahmat-Nya, kita mestilah berusaha meningkatkan keprihatinan kita terhadap masa. Penuhilah ruang-ruang masa yang diberi-Nya dengan amal-amal kebaikan. Nescaya kita tidak akan rugi dan menyesal di Akhirat kelak. Kerana semasa hidup di dunia manusia boleh memperbetulkan kesilapannya yang lalu dan hidup mulia. Manakala di akhirat penyesalan tiada gunanya lagi. 'Masa' tidak bermanfaat baginya kerana hari itu 'masa' adalah untuk pembalasan bukan untuk melakukan amal soleh.

Sebenarnya banyak lagi ajaran-ajaran yang hebat daripada Islam. Cuba praktikkan kedua hal ini terlebih dahulu iaitu menghidupkan amalan membaca dan menghargai masa. InsyaAllah, anda akan menjadi orang yang hebat kerana telah mengikuti ajaran Allah yang Maha Perkasa lagi Maha Bijaksana.

Wallahu A'lam.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...