Jumaat, November 19

KULIAH HADIS SIRI 2

Sabda Rasulullah s.a.w, "Barangsiapa yang bertambah ilmu tetapi tidak bertambah takwanya, sesungguhnya tidaklah bertambah ia daripada Allah melainkan semakin jauh dari-Nya."
Begitulah 'sifir'nya. Apabila bertambah ilmu, (seharusnya) bertambahlah takwa kita kepada Allah. Terasa makin dekat diri dengan Allah, Tuhan Pencipta Langit dan Bumi ini. MasyaAllah. Justeru, ego diri semakin mengecil di hadapan kebesaran Tuhan Yang Maha Agung dan merasa bertambah takut daripada membuat maksiat terhadap-Nya. Sebaliknya, apabila bertambah ilmu tapi tidak bertambah takwa, maka bertambah kufurlah insan malang itu.



Manusia hidup memerlukan ilmu. Tanpa ilmu, manusia takkan mampu melakukan sesuatu yang bermanfaat untuk kehidupannya di dunia dan jauh lebih utama kehidupan di akhirat kelak. Dengan ilmu manusia boleh mengenal Tuhan seterusnya mengenali hakikat diri. Dari mana dia datang? Ke mana selepas mati? Untuk apa hidup? Semuanya terjawab dengan ilmu.

Selain itu, dengan ilmu manusia boleh mengenal dunia dan isinya. Lalu dia boleh mencari dan memanfaatkan kesenangan-kesenangan yang telah Allah sediakan buat manusia berupa tempat tinggal, sumber makanan dan minuman, pakaian, pengangkutan, komunikasi dan sebagainya. Allah berfirman dalam surah Al-Baqarah:
(28) Dialah (Allah) yang menjadikan untuk kamu segala yang ada di bumi, kemudian Dia menuju dengan kehendakNya ke arah (bahan-bahan) langit, lalu dijadikannya tujuh langit dengan sempurna dan Dia Maha Mengetahui akan tiap-tiap sesuatu.
Jelas disini manusia sentiasa memerlukan ilmu. Dari mana datangnya ilmu ini? Tak lain tak bukan, dari Allah, Tuhan Yang Maha Mengetahui Lagi Mendalam PengetahuanNya. Firman-Nya lagi:
(30) Dan Dia telah mengajarkan Nabi Adam, akan segala nama benda-benda dan gunanya, kemudian ditunjukkannya kepada malaikat lalu Dia berfirman: Terangkanlah kepadaKu nama benda-benda ini semuanya jika kamu golongan yang benar. 
Ilmu Allah Maha Luas. Ia mencakupi semua benda di Langit dan di Bumi. Ia juga menyentuh semua hal Dunia dan hal Akhirat (bermuara dari sini, pendirian kita adalah menafikan sepenuhnya fahaman sekularisme yang mengasingkan agama daripada urusan dunia).

Ilmu Allah tiada awal dan tiada akhirnya. Sesiapapun tak akan mampu mencatat ilmu Allah secara keseluruhan. Oleh itu, amat dangkal pemikiran manusia yang telah menguasai secebis ilmu atau dalam bahasa masyarakat "profesional" dalam sesuatu bidang lalu merasakan dirinya sudah cukup berilmu.

Lebih parah lagi, dia beranggapan ilmunya sudah setaraf dengan Tuhannya Yang Maha Mengetahui!!! Lantas, si kufur ini pun berani mempersoalkan ke-Maha Bijaksanaan hukum peraturanNya seperti hudud, qisas, pengharaman riba, judi dan arak, dan sebagainya. Nauzubillah.

Ilmu yang kita pelajari dan tekuni bukan untuk bermegah-megah atau tunjuk pandai kepada orang lain. Juga bukan untuk merasa takjub atas kepandaian diri sendiri. Bukan. Ilmu bukan jalan menuju kepada hawa nafsu dan ego kita.

Dan sudah pasti ilmu bukanlah jalan untuk menuju kepada Iblis dan Syaitan yang dilaknati Allah! Islam melarang dengan sekeras-kerasnya bagi umatnya daripada menuntut ilmu untuk berbuat derhaka kepada Allah. Contohnya ilmu sihir, menilik nasib (menderhakai rukun Iman. Lebih percaya kepada tilikan yang dibuat berbanding Qada dan Qadar Allah), ilmu penyembahan Syaitan, dan apa-apa ilmu yang buruk lagi tercela. Allah subhanawataala telahpun memberi petunjuk tentang jalan mana yang seharusnya ditempuhi kita. Ia termaktub dalam surah Al-Fatihah:
(6)Tunjukilah kami jalan yang lurus. 
(7)Iaitu jalan orang-orang yang Engkau telah kurniakan nikmat kepada mereka, bukan (jalan) orang-orang yang Engkau telah murkai dan bukan pula (jalan) orang-orang yang sesat. 
Maha benar kalam-Nya. Tidak boleh tidak ilmu yang dipelajari mesti berlandaskan jalan yang telah diambil oleh Para Nabi dan Rasul-Nya yang benar. Bagaimanakah jalan itu? Iaitu jalan kebenaran (ikuti Al-Quran dan Sunah Rasulullah s.a.w. tanpa syak dan keraguan), kesabaran, dan keikhlasan. Ikutilah jalan yang memiliki ciri-ciri yang lurus ini. Kerana, manusia yang menempuh kembara pencarian ilmu selain jalan ini hanya akan menemui kemurkaan Allah dan kegelapan kesesatan.


Wallahu A'lam.

2 ulasan:

  1. Salam Ibnu Samaon,

    N3 begini seharusnya dipaparkan di akhbar agar dapat membuka minda mereka yang jumud. Kadang-kadang terasa sakit hati bila terfikir sampai bila perjuangan seringkali dibendung dan dikekang dari penyebarannya. Tapi kalau yang membawa kemungkaran macam tak ada halangan.

    Pedih hati bila suara-suara sebegini dipinggir. Walau ada alternatif seperti ini tapi berapa kerat yg mahu mampir dan menghayati.

    p/s: Ya-Allah bukakanlah hati-hati yang beku itu bersama menuju jalan keredhaanMu. Ameen....

    BalasPadam
  2. Waalaikumusalam...

    Begitulah harapan kita kak. Semoga suatu hari nanti Nur Islam diterima masyarakat kita dengan sepenuh hati.

    Tapak dan praktiknya Islam bermula dengan diri kita sendiri, diikuti dalam keluarga kita. Seterusnya terbinalah masyarakat yang hidup berlandaskan keimanan dan pengamalan Islam yang menyeluruh.

    Akhir sekali, akan terbentuklah Khilafah atau Pemerintahan Islam yang membawa kesejahteraan dan kemakmuran kepada seluruh umat manusia di dunia berlandaskan sistem hidup acuan Allah Taala. Sistem mana lebih hebat selain sistem ini?

    Impian ini bukan angan-angan kosong. Tetapi sesuatu yang telah dijanjikan oleh Allah sendiri. Semoga kita di dalam angkatan keimanan itu. InsyaAllah!

    BalasPadam

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...