Jumaat, Disember 3

BERSAHABAT DALAM ISLAM SIRI 2

Assalamualaikum para pengunjung Cebisan Nur Hikmah yang dikasihi Allah.

Bersyukurlah kita kepada Tuhan kita kerana tanpa bimbingan-Nya kita akan masih teraba-raba lagi dalam mencari tujuan hidup.

Bersyukurlah kita kepada Allah kerana sifat Rahim-Nya kita 'diajak' supaya mengenali-Nya. Kenal para Malaikat-Nya, Kitab-kitab-Nya, para Rasul-Nya, Syurga-Nya, siksa Kubur dan Neraka-Nya  dan pelbagai hal ghaib yang tak tercapai dek akal fikiran semata-mata.

Selawat (doa kebaikan Allah dan para Malaikat-Nya) semoga sentiasa tercurah kepada Pesuruh Allah yang terakhir di muka bumi ini, iaitu Nabi Muhammad s.a.w., ahli keluarganya, para sahabatnya, dan orang-orang yang ikhlas mengikutinya sehingga hari kiamat.

Izinkan saya menyambung entri yang lepas, dimana 'cebisan nur hikmah'nya seperti berikut:

Tanyalah diri sendiri, adakah kita berkawan atas dasar al-Quran dan Sunnah atau atas ajaran-ajaran Yahudi dan Nasrani?
[Ihya Ulumuddin]

Kita sudah ambil maklum secebis dasar daripada Kitabullah pada entri lalu dan perbahasannya. Kali ini insyaAllah kita lihat dasar daripada As-Sunnah atau Hadis Nabi s.a.w.


Ketahuilah bahawa ada 6 hak yang perlu kita penuhi bagi kawan (seagama) kita berdasarkan hadis mulia Baginda s.a.w. yang berikut:

Hak muslim atas muslim yang lainnya ada enam. Para sahabat bertanya: “Apa sahaja, wahai Rasulullah?. Berkata Rasulullah s.a.w: “Ucapkan salam jika berjumpa denganya. Jika ia mengundang kamu, maka penuhilah undangannya. Jika dia meminta nasihat, maka berilah nasihat. Jika dia bersin dan memuji Allah (mengucapkan Alhamdulillah), maka ucapkanlah tasymit (Yarhamukumullah). Jika ia sakit, maka jenguklah dia. Jika dia meninggal dunia, maka iringilah jenazahnya”  (HR Muslim)

Ibrah (iktibar) yang boleh kita ambil ialah:
  1. Jangan lokek memberi salam kepada kawan kita. Ini kerana ucapan "Assalamualaikum" mengandungi doa yang sangat baik untuk kawan kita iaitu mendoakan keselamatan dalam hidupnya. Semoga nyawanya selamat (daripada bahaya), emosinya selamat (daripada cercaan orang), agamanya selamat (daripada fitnah dunia), hartanya selamat (diambil orang), dan sebagainya... Bukankah petunjuk Nabi s.a.w. ini adalah lebih daripada memadai sebagai adab dalam berkawan?
  2. Penuhilah undangan kawan. Lihat, alangkah tulusnya Nabi s.a.w. apabila hal ini pun diberi penekanan. Baginda mengajar kita supaya menjaga hati kawan kita dan dapat berfikir sejenak betapa dia mengharap supaya kita hadir ke undangannya. Sebagai seorang rakan, apakah kita sanggup menghancurkan harapannya?
  3. Kawan kita berhak menerima nasihat dari kita jika dipinta. Jangan lekas mengatakan "tak tahu". Jadilah seorang pendengar yang setia kepada permasalahannya itu supaya sekurang-kurangnya beban masalahnya dapat dikurangkan. Nasihat yang baik datang daripada hati yang ikhlas. Terbitnya keikhlasan apabila persahabatan dibina kerana Allah. Bukan kerana kepentingan duniawi seperti pangkat, harta, rupaparas dan sebagainya.
  4. Hadis di atas juga mengajar dan 'melatih' umat Islam menjadi seorang yang alert dengan persekitaran disamping memupuk rasa prihatin sesama insan. Mengapa saya kata begitu? Kita diajar supaya alert kepada individu yang mengucapkan "Alhamdulillah" kerana bersin. Lalu kita pula mengucapkan "Yarhamukumullah" kepada individu tersebut atas keprihatinan kita. Kedua lafaz zikir ini bukan saja-saja tapi ia juga merupakan ibadat atau amal soleh untuk Allah Taala. Subhanallah. Luas sungguh medan amal ini.
  5. Sebagai kawan, kita mesti ada rasa kasih padanya. Bukan setakat lafaz di mulut, tetapi Islam mengajar kita supaya merealisasikan dalam bentuk perbuatan. Sudah tentu orang akan rasa kasihan apabila melihat seseorang itu sakit. Oleh itu, jangan cukup dengan rasa kasihan sahaja, tapi pergilah melawatnya. Lebih-lebih lagi jika yang sakit itu adalah saudara seagama @ kawan kita. Kerana menjadi haknya supaya kita menjenguk keadaannya.
  6. Hak yang terakhir di dalam hadis ini adalah haknya apabila sudah meninggal dunia. Jika semasa arwah masih hidup, kita selalu berkongsi kegembiraan dan pahit maung bersama, apalah kiranya kita juga mengiringi jenazahnya ke perkuburan. 
Begitu indahnya Islam dalam mengajar kita berkawan. Daripada kawan kita masih hidup sampailah ke pusaranya. Agama manakah yang dapat mengajar lebih baik daripada ini? Oleh itu, marilah kita berpegang teguh dengan sentiasa mengambil iktibar daripada kedua-dua sumber hidayah iaitu Al-Quran dan As-Sunnah. Nescaya kita takkan sesat sampai bila-bila.

Apa yang disajikan di sini hanyalah cebisan ilmu berkenaan hal ini. Pengunjung dijemput ke link-link di bawah untuk pencerahan tambahan.


Semoga nilai persahabatan kita dapat ditingkatkan menuju reda Allah.


Wallahu A'lam.

2 ulasan:

  1. Salam Ibnu Samaon,

    Sebenarnya silaturrahim telah disusun-atur cantik dalam agama kita. Kita hanya mengikuti garisan yang telah diberikan. Bagi mendapat sahabat sebegini diri kita sendiri yang harus turut sama menjadi begini. Semoga peninggalan kita ke liang lahad akhirnya masih ada lagi sahabat turut mengiringi sebagimana kita mengiringi sahabat yang telah pergi.

    BalasPadam
  2. Waalaikumusalam.

    Betul tu Kak. Kebaikan dimulakan dari diri kita, bukan menunggu kebaikan orang lain. Kerana Agama yang kita anuti ini mengajar kita erti Memberi (dengan Amal2 Sole) yang berterusan selagi nyawa dikandung badan.

    BalasPadam

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...