Solat tak tinggal, maksiat buat juga. Al-Quran dibaca, hukum-hakamnya tidak dipatuhi. Itulah sifat MUNAFIK. [Al-Quran dan Hadis]
Bismillahir Rahmanir Rahim.
Para pengunjung yang dirahmati Allah, marilah bersama-sama memanjatkan kesyukuran ke hadrat Ilahi yang tidak putus-putus mencurahkan kasih sayangNya kepada kita. Masih lagi bernyawa pada hari ini.. Lalu dapat menikmati kesegaran udara, kelazatan makanan dan minuman.. Juga terselamat daripada kepanasan yang terik atau kesejukan yang menikam tulang sum-sum. Alhamdulillahi Rabbil Alamin. Kesyukuran yang tidak terhingga juga kerana masih lagi menerima limpahan IMAN daripada ALLAH TAALA dan terpilih sebagai insan yang beragama ISLAM.
Agungnya Iman
Kehebatan nikmat IMAN ini tiada taranya jika dibandingkan dengan nikmat-nikmat Allah yang lain. Mengapa sedemikian? Kerana hanya dengan Iman, manusia dapat menjawab segala persoalan hidup yang terbuku di hati seperti
"Kenapa aku diciptakan?","Dari mana aku datang?", dan "Ke manakah aku pergi selepas mati?"
Iman menyediakan solusinya, iaitu membawa manusia mengenal dengan yakin akan kewujudan Allah Yang Maha Esa. Mempercayai Tuhan yang tidak dapat dicapai oleh sebarang pancaindera. Betapa hebatnya nikmat iman, manusia mampu menerima sesuatu yang ghaib tanpa memerlukan penjelasan atau pembuktian Sains. Iman juga mampu memacu manusia meyakini kewujudan hari Akhirat berserta pembalasannya:
- Kenikmatan Syurga dan melihat wajah Yang Maha Pencipta bagi mereka yang berIMAN dan taat.
- Seksa kubur dan azab api neraka bagi mereka yang KAFIR dan derhaka.
Sesungguhnya, orang yang memiliki segala nikmat harta, ketinggian pangkat dan darjat, kecantikan isteri dan ramainya anak-pinak namun TIADA iman di dada, takkan mampu merungkai persoalan hidup tersebut. Kehidupannya terumbang-ambing dalam melayan kehendak nafsu dan manusia lain. Tandusnya IMAN menyebabkan insan lupa asal kejadian dan bergelumang di dalam kesesatan dan kenistaan. Ini bukan mainan bahasa semata tetapi realiti yang wajar diambil pengajaran.
'Iman' Orang Munafik
Iman yang sempurna adalah yang tiada keraguan di dalamnya. Manakala bagi orang MUNAFIK, imannya dicampuri dengan rasa ragu-ragu. Antara percaya dengan tidak. Imannya berada di tengah-tengah. Nak percaya supaya selamat dikalangan orang yang beriman (supaya 'kulit'nya nampak baik). Enggan percaya kerana benci akan kebenaran yang bakal menyekat kebebasan hawa nafsunya (sembunyikan 'isi'nya yang buruk). .Namun, dia lupa, bahawa Allah Maha Mengetahui sehingga ke dasar hati manusia yang paling dalam. Apa yang kamu simpan Dia tahu. Apa yang kamu rencanakan, DIA tahu. Tiada apa yang terlepas dari pengetahuan-Nya.
Berbalik kepada isu utama, manusia yang menjaga solatnya tetapi tetap membuat dosa. Baca Quran tetapi tidak mengamalkan Quran di dalam hidup. Melakukan yang baik tapi pada masa yang sama istiqomah dengan perbuatan yang mungkar. Anda sendiri boleh menilai, apakah ini sifat munafik ataupun mukmin?
Wallahu A'lam.
Salam Ibnu Samaon,
BalasPadamPerkongsian yang bermanafaat. Semoga keimanan kita tidak diganggu-gugat dengan dunia yang penuh dgn warna-warni....
Waalaikumusalam.AMIN YA RABBI!
BalasPadam