Isnin, Disember 20

KULIAH TAUHID SIRI 18

Akidah atau Iman boleh menjadi batal atau rosak hanya disebabkan tiga perkara iaitu: Pangkat, Harta dan Wanita. Jika tidak mengikut Syariat Islam. [Al-Iman]
Bismillahi Rahmani Rahim.

Segala puji dan syukur hanya untuk Allah. Selawat dan salam ke atas junjungan Nabi Muhammad s.a.w., ahli keluarganya, para sahabatnya dan mereka yang mengikuti Sunnahnya hingga ke hari kiamat.

Iman itu Mutiara, kata kumpulan Raihan. Tanpa iman, manusia tiada nilai di sisi Allah. Hanya melalui iman atau akidah (tali penghubung antara manusia dan Tuhan), barulah bererti hidup ini. Kerana yang mencaturkan kehidupan kita semua adalah Allah Yang Maha Berkuasa. Dari urusan sebesar zarah, hingga nun alam kosmik. Allah memelihara alam ini dengan penuh teliti dan bijaksana untuk kita, manusia. Mengapa?

"Dan Aku tidak menciptakan jin dan manusia melainkan supaya mereka menyembah-Ku"      (Az-Zariyat: 56)


  • Dialah Yang menjadikan bumi sebagai hamparan bagimu (Manusia) dan langit sebagai atap, dan Dia menurunkan air (hujan) dari langit, lalu Dia menghasilkan dengan hujan itu segala buah-buahan sebagai rezki untukmu; karena itu janganlah kamu mengadakan sekutu-sekutu bagi Allah, padahal kamu mengetahui. (Al-Baqarah. 2:22)



  • Dua ayat di atas dengan tegas mengarahkan manusia supaya menyembah Allah (beriman dan beramal soleh kerana-Nya) dan menegah daripada mensyirikkan Allah dengan sesuatu yang lain.

    Syirikkan Allah tak semestinya menyembah pepohon, patung atau lembu sahaja. Bahkan termasuk unsur syirik apabila membesarkan Pangkat, Harta dan Wanita melebihi Allah Subhanahu wa Taala.

    Pangkat

    Orang membesarkan pangkat apabila kononnya kuasa di bawah telapak mereka. Boleh mengarah orang lain sesuka hati kerana ternyata pangkatnya lebih tinggi. Akibatnya, berlakulah kezaliman dan diri bertambah bongkak. Enggan menerima Ayat-ayat ALLAH dan sunnah Rasulullah s.a.w. Enggan menerima teguran daripada sesiapa apabila merasakan segala tindak-tanduknya adalah betul. Inilah tanda khusus orang yang membesarkan pangkat. Orang seperti ini sebenarnya sedang 'menghancurkan' diri sendiri. Dia sedang meletakkan dirinya ke tepian jurang neraka kerana membahayakan diri dengan dosa syirik.

    Harta

    Meletakkan harta di hadapan Al-Quran dan As-Sunnah juga akan melenyapkan iman di dada. Siang malam dia memeras kudrat dan akal fikiran semata-mata untuk menumpukkan harta peribadinya. Orang ini seperti hamba harta. Makin banyak harta, makin gelisah jiwa. Bimbang berkurang. Bimbang diambil orang. Bakhil untuk bersedekah. Alahai, rendahnya darjat mereka yang menggadaikan iman untuk kenikmatan dunia yang sementara. Akhirnya, harta ditinggalkan kepada waris apabila MAUT menjelma.

    Wanita

    Lelaki dan wanita sememangnya diciptakan untuk bersama. Itu adalah fitrah manusia. Tapi  manusia melampaui batas fitrah yang asalnya suci ini ke lembah kekotoran dan kenistaan nafsu syahwat. Hati yang sudah terpana dengan kecantikan wanita adalah detik-detik awal bermulanya unsur syirik meresap ke dalam hati. Kesucian dan keindahan Allah subhanahu wataala tidak lagi dihiraukan. Kecantikan dan kemuliaan akhlak Rasulullah s.a.w. bukan lagi perhatian. Jelas, nama Allah dan Rasul sudah semakin kabur ukirannya di hati. Yang besar dan jelas terpampang hanyalah wanita, wanita, dan wanita. Kegilaan nafsu syahwat merubah nilai insan daripada kain putih (fitrah) ke darjat kebinatangan. Setaraf anjing dan babi, malah lebih teruk lagi!

    Kesimpulan


    Pangkat, harta dan wanita tidak menjanjikan apa-apa. Kesemua itu bak fatamorgana yang menawarkan keindahan, keseronokan yang seketika cuma. Janganlah kita gadaikan iman kita yang sangat bernilai di sisi Allah subhanahu wataala. Semoga hidup dan mati kita hanya untuk Allah. Amin.

    Wallahu A'lam.

    Tiada ulasan:

    Catat Ulasan

    Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...