Khamis, Disember 9

KULIAH FEKAH SIRI 9

Ramai orang Islam tidak yakin dengan jaminan Allah dan RasulNya. Tetapi lebih yakin dengan jaminan manusia-manusia yang kafir dan munafik. [Huraian Hidayatul Salikin]
Bismillahi Rahmanir Rahim...

Apakah jaminan Allah? Apa pula jaminan Rasul s.a.w.? Tidak lain, kejayaan di Dunia dan kejayaan lagi di Akhirat. Bunyinya pun dah dahsyat! Mengapa orang kita (dibaca:umat Islam) macam endah tak endah saja jaminan ini? Kerana gersangnya IMAN! Iman sudah luntur di dada. Diwarnai pula dengan penyakit Wahan sebagaimana Hadis Rasulullah s.a.w. (biar disebut berulang-ulang sebab setiap nasihat itu bermanfaat buat orang mukmin) :

Tsauban r.a. berkata: Rasulullah SAW bersabda; “Hampir tiba suatu masa di mana bangsa-bangsa dan seluruh dunia akan datang mengerumuni kamu bagaikan orang-orang yang hendak makan mengerumuni talam hidangan mereka.” Maka salah seorang sahabat bertanya “Apakah dari kerana kami sedikit pada hari itu?” Nabi SAW menjawab, “Bahkan kanu pada hari itu banyak sekali, tetapi kamu umpama buih di waktu banjir, dan Allah akan mencabut rasa gerun terhadap kamu dari hati musuh-musuh kamu, dan Allah akan mencampakkan ke dalam hati kamu penyakit ‘Wahan’.” Seorang sahabat bertanya, “Apakah wahan itu hai Rasulullah?” Nabi menjawab, “Cintakan dunia dan takut mati.” – HR Imam Abu Daud
Wahan: Penyakit umat Islam masa kini.


Jika hendak dibanding dengan penyakit H1N1 atau yang terkini H1N2, saya fikir penyakit Wahan jauh lebih merbahaya dan lebih wajar untuk dibimbangkan. Manusia kelam-kabut bila mendengar virus selsema babi melanda negara, mereka segera mengambil penutup muka sebagai langkah pencegahan dan keselamatan. Itu tidak salah malah tindakan yang sangat wajar. TETAPI, adakah masyarakat Islam yang kelam-kabut tadi, segera mengambil 'pelindung hati' daripada virus-virus 'hubbun dunya' dan takut mati???

Penyakit cintakan dunia adalah sesuatu realiti umat yang tak dapat dielakkan lagi. Ia pun sudah diberitakan oleh Rasulullah s.a.w. yang tiada perkataan 'dusta' di dalam kamus hidupnya. Mari kita telusuri 'simptom-simptom' penyakit ini yang terkena pada masyarakat kita.

Mat Rempit (tak terkecuali 'si sempit')

Saya acap kali melihat mat rempit di kaca televisyen. TV seakan-akan melobi budaya rempit ini kepada anak-anak muda kita. Serlahkan keseronokan budaya ini biarpun akan mengakibatkan keruntuhan akhlak generasi harapan negara. Aduhai...

Anda lihat sajalah pertuturan golongan mat rempit ini. Seolah-olah sudah tak kenal lagi budaya dan adat sendiri (walhal lahir-lahir sebagai orang Melayu). Dek kerana cintakan dunia, habis personaliti diubah. Lebih rela merosakkan bahasa daripada membudayakan bahasa sendiri. Kemudian lihat pakaian mereka. Sekejap kita akan jumpa mereka dengan rantainya, ada yang bergelang, sekejap muncul dengan berseluar koyak-koyak sehingga terdedah aurat. Ada yang mewarna rambut supaya nampak lebih bergaya. Mengapa sikap meniru budaya barat ini begitu meluas sekali? Cintakan dunia. Bila 'dunia' tersemat rapi di hati, macam-macam tindakan luar batas sanggup dituruti!


Lihat pula corak hidup mereka. Bab ini yang paling menyedihkan. Anak-anak gadis masyarakat kita dengan asyiknya berkepit dengan mat-mat motor ini tanpa ada sekelumit rasa malu dan segan. Hasil daripada cintakan keseronokan dunia, sudi menjadi pembonceng bersama lelaki yang tak halal baginya. Ajaran manakah yang membenarkan budaya bercampur bebas lelaki dan perempuan yang bukan mahram? Ajaran manakah yang membenarkan umatnya bebas memperlakukan siapa-siapa saja seperti pasangan suami isteri? Tiada satu agamapun yang mengajar umatnya berkelakuan sedemikian. Asal ajaran songsang ini tidak lain tidak bukan adalah dari bisikan Syaitan yang kerjanya selalu menyesatkan manusia. Ditambah pula dengan dorongan hawa nafsu yang sentiasa mengajak pelakunya ke arah kejahatan. Sedarilah duhai anak-anak muda, bahawa Tuhan yang memiliki diri anda. Bukan anda yang memiliki Tuhan sehingga boleh  'meletak-Nya ke tepi' dengan sewenang-wenangnya!

Krisis Keyakinan


Pendek kata, umat kita menghadapi krisis keyakinan. Apabila hati 'melekat' kepada dunia dan isinya, begitu mendalam cinta dan sayangnya kepada dunia, maka mati pun sudah tidak diharapkan lagi. Bila mendengar perkataan 'mati', pasti akan mencebik bibirnya sebagai tanda benci. Mana tidaknya, dunia sudah begitu menarik perhatiannya. Akhirat pun dipandang remeh. Inilah dia penyakit wahan yang mengakibatkan krisis keyakinan.

Maka secara automatiknya, jaminan apapun yang dinyatakan oleh Al-Quran dan Hadis Baginda s.a.w., manusia yang dihinggapi penyakit wahan takkan mengambil perhatian. Jaminan yang mereka nampak hanyalah daripada kata-kata manis ahli dunia (orang kafir dan munafik)! Nauzubillahi minzalik.

Wallahu A'lam.

2 ulasan:

  1. Assalamualaikum Ibnu Samaon,

    Memabaca N3 ini memang terasa sekali khayalan bangsa kita hingga penyakit Wahan itu sudah melekat di sanubari. Itulah risiko bila agama dan sunnah diperlekehkan. Mereka yg bertanggungjawab sering memandang ringan perkara yg membawa kemungkaran.

    Sedih melihat situasi begini semakin menjadi-jadi. Tanggungjawab kita tanamkan iman sekukuh boleh kepada mereka yg dibawah tanggungan kita.

    BalasPadam
  2. Waalaikumusalam.

    Setuju sangat dengan pandangan kak tu. Krisis ini wajib ditangani oleh semua ketua: ketua negara, badan kerajaan, bukan kerajaan, ketua kampung dan juga ketua keluarga.

    Perbarui nilai iman di dada dengan sentiasa istiqamah dalam majlis ilmu dan zikir. insyaAllah akan sejahtera hati kita.

    BalasPadam

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...